suria

Kejayaan 'Sejoli' Tingkatkan Usaha Grand Brilliance Hasilkan Banyak Filem Komedi

Bront dan Maya memenangi kategori masing-masing dalam untuk filem 'Sejoli'.

SHAH ALAM: Kejayaan filem Sejoli meraih enam kategori pada Anugerah Lawak Warna 2014 yang berlangsung di Teater Selangor, malam Jumaat lalu dilihat sebagai pembakar semangat kepada Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) hasilkan lebih banyak filem komedi.

Bagaimanapun, Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alauddin, berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk mencari sesebuah skrip yang boleh meninggalkan kesan dan membuat penonton tersenyum.

"Selepas kejayaan filem ini kita akan fikirkan untuk menerbitkan lebih banyak lagi filem genre romantik komedi seperti ini bukan sahaja untuk menang anugerah tetapi juga menarik penonton ke pawagam.

"Bagaimanapun, saya akui ia sedikit sukar mencari skrip yang benar-benar kuat dan meninggalkan kesan di hati penonton seperti filem ini," ujarnya kepada mStar Online.

Tengku Iesta ditemui selepas tamat acara Anugerah Lawak Warna 2014 yang disiarkan secara langsung di Teater Selangor, malam Jumaat.

Filem Sejoli merangkul enam anugerah secara keseluruhannya dalam Anugerah Lawak Warna 2014. 


Sejoli berjaya merangkul kesemua enam  kategori filem iaitu Filem Komedi Terbaik, Lakon Layar Komedi Terbaik, Skrip Komedi Terbaik, Pengarah Komedi Terbaik (Osman Ali), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Maya Karin) dan Pelakon Komedi Lelaki Filem Terbaik (Bront Palarae).

Tambah Tengku Iesta, dia melihat kekuatan utama kejayaan filem ini adalah daripada segi skrip komedi yang tidak perlu banyak diubah oleh pengarah dan pelakon.

Katanya, pelakon-pelakon utama turut menghormati dan memberi lakonan mereka mengikut skrip yang diberikan tanpa membuat sebarang penambahan atau adlib.

"Saya lihat skrip filem ini kuat biarpun pelakon-pelakon bukan terdiri daripada pelawak, namun mereka memberi komedi mengikut skrip dengan baik sekali.

"Paling banyak adlib pun Azad Jazmin, tapi masih boleh dikawal oleh pengarah Osman Ali agar tidak terlalu lari dengan skrip asal," ujarnya.

Mengulas tentang kemenangan teraju utama iaitu Maya Karin dan Brond Palarea dalam kategori masing-masing, Tengku Iesta berkata, mereka merupakan pelakon yang bijak.

Katanya, kedua-dua pelakon berpengalaman itu berjaya melakonkan watak mereka dengan baik.

"Maya dan Bront pelakon yang kita semua tahu sudah mempunyai pengalaman tetapi mereka bukan pelawak.

"Mereka dapat memberikan sebuah karekter yang pengarah mahukan mengikut skrip filem tersebut," katanya.
Sejoli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain