suria

Filem'Nasi Tangas (Nasi Kangkang)' Guna Mantera Jawa

Adibah Yunus, Azwan Kombos dan Shima Anuar sebagai pelakon utama Nasi Tangas (Nasi Kangkang).
PETALING JAYA: Pengarah filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang), Hashim Rejab mendedahkan mantera yang digunakan dalam filem tersebut merupakan mantera sebenar untuk amalan khurafat pembuatan nasi kangkang.

Hashim berkata, mantera tersebut diperoleh daripada kajiannya terhadap beberapa orang lama yang tahu tentang amalan tersebut.

"Saya guna mantera Jawa yang sebenar yang diperolehi daripada beberapa kajian terhadap orang tua-tua dulu yang tahu tentang pembuatan syirik ini.

"Bagaimanapun elemen-lemen lain yang sebenar saya tidak tunjukkan bagi mengelakkan ia ditiru oleh penonton, hanya beberapa perkara asas sahaja yang ditunjukkan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Hashim mengakui banyak elemen kotor dan jijik sebenar yang cuba dipaparkan dalam filem ini terpaksa dipotong atas nasihat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Katanya, pihak LPFM menganggap beberapa perkara tersebut boleh menganggu dan merosakkan kententeraman awam.

"Saya kecewa apabila babak-babak yang penting terpaksa dipotong kerana dikatakan sangat kotor dan menganggu kenteraman awam. Oleh yang demikian elemen yang menyedapkan cerita itu menjadi kurang daripada apa yang saya harapkan," ujarnya.

Sementara itu, Hashim berkata, tajuk asal filem tersebut Nasi Kangkang juga terpaksa ditukar kepada Nasi Tangas (Nasi Kangkang) supaya lebih sesuai untuk ditonton oleh golongan 13PL.

Dia juga tetap mahukan sub tajuk Nasi Kangkang  berikutan promosi yang dibuat sebelum ini menggunakan tajut tersebut.

"Pihak LPFM suruh ianya ditukar terus kepada Nasi Tangas tetapi saya minta ia tetap mengekalkan tajuk Nasi Kangkang sebagai sub tajuk agar orang ramai tahu ia adalah cerita yang sama.

"Kita sudah buat promosi lama sejak penggambaran lagi, jadi jika ditukar nanti penonton keliru dan fikir ia filem berbeza," ujarnya.

Filem ini dibarisi pelakon seperti Azwan Kombos, Adibah Yunus, Shima Anuar, Delimawati, Herman Tino dan Along Eyzendy.

Filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang) ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri Hairi lakonan Azwan Kombos dan Mira (Adibah Yunus) berantakan apabila Hairi terlalu akrab dengan kawan baiknya Fatin (Shima Anuar) sehingga menimbulkan rasa cemburu Mira.

Mira menggunakan jalan pintas untuk merampas semula cinta Hairi menggunakan cara amalan ilmu hitam dengan melakukan nasi kangkang agar Hairi mengikut segala arahannya.

Filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang) mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 18 September 2014.
Nasi Tangas (Nasi Kangkang)

Artikel Lain