suria

Luna Maya Rugi Besar Hasilkan Minyak Wangi Jenama Sendiri

Luna Maya
PETALING JAYA: Pelakon Indonesia iaitu Luna Maya pernah mengalami kerugian besar apabila projeknya menghasilkan minyak wangi jenama sendiri gagal dilaksanakan.

Luna atau nama sebenarnya Luna Maya Sugeng, 31, berkata, dia telah ditipu oleh sebuah syarikat kononnya ingin bekerjasama dalam menjayakan produk minyak wangi tersebut sehinggakan wang yang dilaburkan (enggan didedahkan nilainya) untuk projek itu 'hangus' begitu sahaja.

"Kalau nak diikutkan saya sudah pun mempunyai produk minyak wangi jenama sendiri sejak empat tahun lalu.

"Saya bersama sebuah syarikat telah beria-ia menyiapkan produk itu sepanjang tahun, tetapi mereka pula telah melarikan diri. Habis  rugi pelaburan saya. Nak buat macam mana, saya anggap ia bukan rezeki," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, kata Luna, dia bersyukur apabila selepas tiga tahun kejadian itu, sebuah syarikat ingin menjalinkan kerjasama untuk menghasilkan produk minyak wangi tersebut.

Katanya, walaupun masih serik dengan kejadian lalu, Luna tetap memberanikan diri untuk bekerjasama dengan pihak tersebut dan akhirnya, jenama minyak wangi miliknya terlaksana juga.

"Tidak sabar rasanya menantikan pelancaran produk minyak wangi pertama saya iaitu Luna Maya Unforgetable pada 8 November ini.

"Segala dugaan dan penat lelah saya berbaloi rasanya. Ada yang berpendapat kenapa mesti minyak wangi? Tambah pula saya pernah gagal sebelum ini.

"Tetapi bagi saya, itu adalah cabaran. Jika kita mempunyai minat dalam sesuatu produk perniagaan yang dilakukan, kita pasti akan usahakan sehingga ia berjaya. Kiranya, secara kesuluruhan, lima tahun juga saya mengambil masa untuk mencapai impian ini," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Luna turut bekerjasama dengan penyanyi dan pengacara, AC Mizal menerusi lagu duet Paranoid.

Menariknya, klip video lagu itu telah diarahkan sendiri oleh Luna.

"Saya sukakan muzik berkonsep dance dan Paranoid adalah lagunya. Apabila AC meminta saya mendengar lagu tersebut dan menawarkan saya untuk menjadi pasangan duetnya, saya terus bersetuju," tuturnya.
Luna Maya

Artikel Lain