suria

Stesen Radio Baharu iM4U FM Tiada Kaitan Politik

Kartini (dari atas, kanan) bersama penyampai-penyampai radio iM4U fm. Foto RAJA FAISAL HISHAN
PETALING JAYA: Stesen radio baharu iaitu iM4U FM yang diperkenalkan tiada kena-mengena dengan mana-mana sokongan politik sebaliknya ia hanya mendapat dana daripada kerajaan.

Ketua Pegawai Operasi iM4U FM, Azlan Rudy Malik, berkata, ramai yang keliru dengan kewujudan saluran radio itu yang lebih mewakili kempen-kempen kerajaan tetapi sebaliknya kerajaan hanya terlibat daripada segi menyalurkan kewangan sahaja.

"iM4U merupakan sebuah badan bukan kerajaan. Cuma pihak kerajaan memberikan dana RM100 juta untuk melakukan aktiviti dan kempen-kempen melibatkan golongan muda.

"Dan penubuhan radio iM4U FM antara projek menggunakan sebahagian wang tersebut. Cuma ia langsung tiada kaitan dengan mana-mana parti politik. Saya harap orang ramai jelas tentang perkara ini," katanya.

Rudy ditemui pada majlis pelancaran iM4U fm di Black Box, Publika di sini pada petang Selasa.

iM4U merupakan stesen radio yang menggabungkan konsep khidmat sosial dan hiburan untuk golongan belia.

Rudy dan Kartini.

iM4U  bermakna 1 Malaysia For Youth.

Menerusi radio tersebut, segala keuntungan yang diraih akan disalurkan ke Dana Sukarelawan 1 Malaysia (DRe1M).

Sementara itu, Rudy berkata, selain memainkan lagu-lagu tempatan, iM4U FM mengambil pendekatan untuk mengekalkan konsep memainkan lagu-lagu antarabangsa seperti stesen radio lain.

"Sebelum menubuhkan radio ini, pihak kami telah membuat kajian menerusi tinjauan terhadap golongan muda.

"Kebanyakan mereka menyukai lagu-lagu berkonsepkan urban Melayu termasuklah antarabangsa.

"Dan berdasarkan pemerhatian kami, rating pendengar radio berkemungkinan boleh terjejas sekiranya lagu-lagu daripada negara luar tidak dimainkan," ujarnya.
|
Radio tersebut yang menggunakan khidmat penyampai radio baharu iaitu Shah Sulaiman, Tyler Lim, Nasrun Sofian, John Bear, Jiggy dan Thevanesh bakal ke udara bermula 15 September ini menerusi frekuensi 107.9 FM di Lembah Kelang.

Selain Rudy turut hadir pada pelancaran berkenan ialah Pengarah Radio iM4U, Kartini Kamalul Ariffin, penyanyi Amy (Search), Noh (Hujan), Sazzy Falak, Diandra Arjunaidi, Fynn Jamal turut hadir pada pelancaran tersebut.
iM4U FM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain