suria

Awie Anggap Tuah, Mokhtar Dahari Muncul Dalam Mimpi

Awie
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Awie mendedahkan legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pernah muncul dalam mimpinya semasa dia dalam proses latihan pementasan teater muzikal SuperMokh musim pertama tahun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Mohd Azhar Othman, 46, berkata, kisah berkenaan tidak pernah diceritakan kepada sesiapa sebelum ini dan hanya diberitahu kepada isteri Allahyarham iaitu Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim.

"Allahyarham datang dalam mimpi saya sekitar tahun lalu sebelum pementasan SuperMokh yang pertama berlangsung dan ketika itu saya tertidur selepas keletihan mengadakan persembahan di Melaka bersama Wings.

"Apabila terjaga sekitar pukul empat pagi saya rasa 'kedatangannya' itu seperti benar-benar berlaku dan saya sedekahkan Al-Fatihah kepadanya," ujar Awie kepada mStar Online.

Awie ditemui selepas pementasan pertama Teater muzikal SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada malam Isnin lalu.

Teater arahan bersama Hans Isaac dan Harith Iskander itu sedang dipentaskan bermula 8 hingga 21 September ini.

Masih mengekalkan Awie dan Maya Karin sebagai teraju utama, ia turut menampilkan Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

mStar Default Image
Antara lakonan Awie (duduk tengah) dalam SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai mimpi berkenaan, Awie berkata, Mokhtar menggunakan bahasa Inggeris ketika berbual-bual dengannya selain mengajarnya teknik bermain bola sepak.

Awie juga ada menceritkan mengenai butiran mimpi itu kepada isteri Allahyarham dan Tengku Zarina memberitahu arwah suaminya itu memang menggunakan bahasa berkenaan untuk berkomunikasi.

"Saya tidak beritahu sesiapa mengenainya dan terus menceritakan kepada isterinya dan tidak sangka pula banyak perkara yang memang menggambarkan tentang Mokhtar dan disahkan sendiri oleh Tengku Zarina," jelasnya.

Sementara itu, Awie berkata, dia menganggap mimpi tersebut sebagai satu tuah kerana sedikit sebanyak dia dapat memahami Mokhtar dan menjiwai watak figura berkenaan dalam pementasan teater tersebut.

Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun.

Supermokh adalah gelaran yang digunakan untuknya.

Dalam perkembangan lain, Awie berkata, musim kedua SuperMokh memberikan kepuasan berbeza kepadanya kerana dapat memperbaiki kekurangan sebelum ini.

Malah dia juga semakin selesa membawakan watak legenda itu di pentas dan berharap musim kedua ini akan memberi peluang kepada peminat untuk mengenali Kehidupan Mokhtar dengan lebih baik.

Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-41478600 atau 019-2111600.
Awie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain