suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Enggan hantar senarai nama baharu, MB dakwa titah Tuanku Muhriz batal lantikan Exco Negeri Sembilan tak ikut undang-undang

Langsung tak dimaklumkan, Ismail Lasim tegaskan pembatalan Exco Negeri Sembilan bertentangan Perlembagaan.

PEMBATALAN pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dianggap bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan berikutan kekhilafan undang-undang itu, kesemua anggota Exco sedia ada akan terus menjalankan tugas pentadbiran seperti biasa.

"Saya perlu menyatakan bahawa saya tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberikan nasihat mengenai pemecatan mana-mana anggota Exco Negeri Sembilan di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Justeru, tidak timbul keperluan untuk mengemukakan senarai baharu anggota Exco kerana barisan sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, kuasa pemerintah dalam urusan pentadbiran perlu dilaksanakan atas nasihat Menteri Besar dan barisan Exco seperti diperuntukkan menerusi Perkara 40(1).

Malah tegas beliau, kuasa budi bicara pemerintah dalam urusan pentadbiran pula hanya meliputi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2).

ARTIKEL BERKAITAN: Mungkir sumpah jawatan, Tuanku Muhriz batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan… MB kena cari pengganti

"Kuasa untuk memecat atau menamatkan khidmat anggota Exco secara sepihak tidak termaktub dalam kuasa budi bicara tersebut," jelas beliau.

Ismail turut menambah, sistem pentadbiran negeri pada asasnya didukung oleh prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Susulan itu katanya, kuasa pemerintah untuk memperkenankan tempoh perkhidmatan anggota Exco di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama Perkara 38(4) dan 40(1).

"Ini bermakna sebarang penamatan atau perubahan terhadap komposisi barisan Exco ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ismail turut menegaskan, kerajaan negeri akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara mengikut kedaulatan undang-undang yang sah.

Kenyataan tersebut dibuat susulan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua anggota Exco negeri berkuat kuasa serta-merta pada Ahad.

Keputusan itu dimaklumkan Istana Besar Seri Menanti selepas anggota Exco didapati melanggar sumpah jawatan masing-masing yang dilafazkan dan ditandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Besar pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.

Kesemua mereka juga berikrar untuk taat setia kepada pemerintah dan Institusi Diraja, mempertahankan kedaulatan Perlembagaan negeri serta mengakui kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Bagaimanapun, Istana mendakwa sumpah itu dilanggar menerusi tindakan mereka pada 15 September lalu apabila bersetuju dengan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Susulan itu Istana Besar Seri Menanti turut menitahkan Menteri Besar supaya mempersembahkan senarai calon anggota Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan pemerintah negeri mengikut Perkara XXXVIII(2) Perlembagaan negeri.

Artikel Lain