TIGA sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun, Ipoh, Perak awal pagi Ahad.Lebih memilukan, seorang anak hanya mampu memegang tangan ibunya menerusi jeriji besi di balkoni ketika cuba menyelamatkannya daripada kebakaran berkenaan. Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, berkata adiknya, Raja Muhammad Shukri, 30, sempat mencapai tangan ibu mereka dan cuba menariknya keluar.Bagaimanapun, jeriji besi yang dipasang di balkoni menghalang usaha tersebut.Kebakaran itu meragut nyawa ibu bapa mereka, Zaitun Mohamed, 64, dan Raja Ahmad Raja Ali, 70, serta anak saudara mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.Kejadian berlaku di sebuah rumah di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun.Raja Ikhwan yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, ketika kejadian dia sedang tidur berhampiran kawasan parkir sebelum terdengar jeritan anak saudaranya meminta pertolongan kira-kira pukul 4 pagi.Jeritan itu kemudian disusuli bunyi kaca pecah.Menurutnya, dia cuba memasuki rumah untuk menyelamatkan ahli keluarga, namun gagal kerana api sudah marak selain asap tebal memenuhi kediaman.Jiran yang datang membantu turut berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap, namun tidak berjaya."Saya panggil jiran minta bantuan. Mereka hubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta cuba menyelamatkan mereka yang berada di dalam rumah, tetapi tidak berjaya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Raja Ikhwan turut mendedahkan beberapa jam sebelum tragedi, ibunya ada memberitahu dia berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu akan berlaku.Sementara itu, bapa Nik Abdurrahman, Helal Zamri, 37, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi.Menurut Helal, anaknya tinggal bersama datuk dan neneknya sejak kecil serta dibesarkan oleh pasangan berkenaan."Kali terakhir saya jumpa anak dan datuk neneknya adalah pada awal minggu ini. Anak saya bekerja bersama saya dalam perniagaan katering," katanya.Dalam pada itu, Raja Ikhwan berkata dia hanya sempat mengalihkan sebuah motosikal dari kawasan parkir dan tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan barangan lain. -The Star