suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lelaki disyaki rakam wanita dalam tandas kedai serbaneka ditahan polis, iPhone 16 turut dirampas

Perbuatan merakam individu lain di dalam tandas adalah menjadi suatu kesalahan. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita terkejut apabila melihat sebuah telefon bimbit muncul dari bahagian atas dinding pemisah ketika menggunakan tandas di sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura, Jerantut, Pahang.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi pada Sabtu itu disedari mangsa berusia 26 tahun selepas melihat pergerakan mencurigakan dari tandas bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa mengesyaki dirinya sedang dirakam menerusi telefon yang dihalakan dari bahagian atas pemisah tandas.

Menurutnya, mangsa segera memeriksa tandas bersebelahan dengan bantuan ahli keluarganya.

“Suami mangsa kemudian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut bagi mendapatkan bantuan.

“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Jerantut yang tiba di lokasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nor Azman berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan untuk merakam mangsa.

Suspek direman selama tiga hari sehingga 22 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Telefon bimbit yang dirampas akan dihantar ke Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisis.

Artikel Lain