suria

Maharaja Lawak Mega 2013 Kekalkan Format Lama

Dari kiri; Nizam Sani, Khairul Anwar dan Rostam.
Dari kiri; Nizam Sani, Khairul Anwar dan Rostam.
Dari kiri; Nizam Sani, Khairul Anwar dan Rostam.

KUALA LUMPUR: Program Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) akan mengekalkan format lama dengan turut menampilkan peserta dari negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya membuat keputusan untuk mengekalkan format tersebut selepas merasakan ia berpotensi bagi mengembangkan industri komedi ketiga-tiga buah negara.

"Setakat ini format masih sama bagi mengekalkan momentum yang sedia ada.

"Kita yakin dengan jemputan peserta daripada negara Singapura dan Indonesia dapat memeriahkan MLM 2013. Tambahan pula terdapat peserta tersebut pernah menyertai MLM sebelum ini.

"Cuma pihak kami memberi fokus pada tema-tema lebih mencabar yang diberikan setiap minggu," katanya.

Nizam ditemui pada pelancaran program tersebut di Hotel Istana di sini pada Isnin.

Turut hadir Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Saluran Astro Warna, Rostam Said.

Seramai 13 barisan pelawak akan beraksi di gelanggang MLM 2013 iaitu Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Wala, Comey, Nabil, Osama, Tulang, Bocey, Sepahtu, Kucai dan SYJ.

"Kehadiran peserta-peserta lama yang antaranya seperti Boboi, Nabil dan Jambu juga bakal menyaksikan adakah mereka mampu bertahan dengan populariti masing-masing.

"Ini kerana peserta-peserta baharu juga tidak kurang hebatnya dan MLM 2013 pada masa sama juga akan memperlihatkan prestasi lawak mereka," ujarnya.

Dalam pada itu sebanyak 12 peserta lain iaitu Shake, Glory, Santan, Hai, Mamu, Zero, Pajak, Gadai, Kecik, 2Yol, Gerak dan Keross akan melalui satu ujian di Kerusi Panas MLM bagi menentukan siapakah tiga peserta layak yang akan bertanding ke program tersebut.

Pemilihan peserta itu akan disiarkan pada 8 November depan pada pukul 10 malam di saluran Astro Warna.

Sementara itu, MLM 2013 akan menggunakan empat juri tetap iaitu dua daripadanya dari Malaysia manakala selebihnya dari Indonesia dan Singapura.

Sistem penghakiman masih dikekalkan dengan format 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

Juara MLM 2013 bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang hadiah RM250,000 dan RM150,000.

MLM 2013 akan bersiaran secara langsung bermula 15 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Artikel Lain