suria

Telefilem 'Erna Shuraya' Buat Pengarah Pening Kepala

Pengarah telefilem 'Erna Shuraya'. Zamani Ibrahim. Foto YAP CHEE HONG
Pengarah telefilem 'Erna Shuraya'. Zamani Ibrahim. Foto YAP CHEE HONG
Pengarah telefilem 'Erna Shuraya'. Zamani Ibrahim. Foto YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Perbezaan budaya dan cara kerja berlainan membuatkan pengarah drama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zamani Ibrahim pening kepala apabila bekerjasama dengan Radio Televisyen Brunei (RTB) menerusi telefilem Erna Shuraya.

Zamani berkata, kesukaran itu berlaku apabila dia dan pengarah bersama dari negara itu, Hauyah Chuchu mempunyai perbezaan pendapat ketika mengarahkan telefilem yang menampilkan pelakon Tasha Shila dan Shakila Khoriri itu.

"Bukan mudah sebenarnya apabila mengarah filem bersama pengarah luar yang mempunyai perbezaan budaya dengan kita. Pening dibuatnya kerana kami berbeza pendapat.

"Malah cara kerjanya juga berbeza apabila mereka lebih tenang bekerja berbanding dengan kita yang ingin menyiapkan sesebuah penggambaran dengan cepat," katanya.

Zamani ditemui selepas majlis tayangan telefilem Erna Shuraya di Wisma TV, Angkasapuri, di sini, Selasa.

Telefilem Erna Shuraya yang akan disiarkan pada 1 Januari 2013 di TV2 itu turut menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Shukri Mahari, Sharin Bali dan Norakmalina Iskandar.

Bagaimanapun tambah Zamani, walaupun terdapat kesukaran itu, namun dia gembira apabila peluang kerjasama dengan pengarah berkenaan memberikan hasil karya yang bagus untuk dipertontonkan pada umum.

"Memang agak sukar apabila kami bekerjasama, banyak perkara boleh dan tidak boleh yang tidak kita lakukan dalam industri seni lakonan tempatan dan ia wajib dipatuhi apabila menghasilkan telefilem di Brunei.

"Namun ia sebahagian daripada pengalaman di mana saya anggap setiap negara mempunyai cara kerja yang tersendiri dan apabila bekerjasama dengan pihak luar, saya bersyukur kerana urusan di negara kita sebenarnya lebih mudah," ujarnya.

Telefilem ini mengisahkan mengenai seorang gadis licik bernama Erna (Tasha) yang suka melakukan penipuan dalam syarikat-syarikat besar.

Erna telah mengesan seorang hartawan Brunei bernama Hasrul (Shukri Mahari) yang ingin mencari rakan kongsi untuk memberikan idea dalam perniagaannya.

Selepas yakin bahawa Hasrul merupakan mangsa penipuannya, dia terus menjalankan misi ke Brunei untuk menggoda lelaki itu.

Bagaimanapun, Jalil (Sharin Bali), rakan karib Hasrul, telah mengesyaki sesuatu tentang Erna dan memintanya untuk memeriksa latar belakang wanita yang disukainya itu.

Hal tersebut membuatkan Erna lebih berjaga-jaga dengan memanggil rakan karibnya, Shuraya untuk mendapatkan bantuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain