suria

Hanya 10 Orang Adili Anugerah Juara Lagu Ke 27

12 lagu dipilih untuk ke pentas AJL27 pada 6 Januari depan. Foto FAIHAN GHANI
12 lagu dipilih untuk ke pentas AJL27 pada 6 Januari depan. Foto FAIHAN GHANI
12 lagu dipilih untuk ke pentas AJL27 pada 6 Januari depan. Foto FAIHAN GHANI

SUBANG JAYA: Juri untuk pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL27) pada kali ini telah dikurangkan kepada 10 orang berbanding 22 orang pada tahun lalu bagi mengadili acara berprestij itu.

Penerbitnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, pihaknya melakukan tindakan itu kerana kebanyakan juri yang ditawarkan untuk mengadili karya termasuk lagu dan lirik bagi acara berkenaan terlalu sibuk dengan kerja seni masing-masing.

"Walaupun pihak kami hanya memperoleh 10 orang juri sahaja, namun proses memilih karya terbaik tidak terjejas kerana ia diadili oleh golongan yang benar-benar berkemahiran.

"Saya percaya, menerusi AJL pada kali ini semua pihak termasuklah pihak produksi, media dan penonton akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat nanti," katanya pada sidang akhbar AJL27 di Hotel Empire, dekat sini, petang Khamis.

Tambah Sufian, pihaknya akan mengubah sedikit konsep pengadilannya di mana AJL27 mungkin bakal diadili oleh penggiat seni profesional luar negara iaitu di Singapura dan Indonesia.

Dalam pada itu, dia juga akan memastikan, pemilihan juri tidak mempunyai kaitan dengan finalis anugerah tersebut.

"Sejak kebelakangan ini kami sudah mula menitikberatkan tentang pemilihan juri di mana mereka akan dipastikan tidak ada sebarang kaitan dengan 12 finalis yang dipilih.

"Malah pihak kami telah membuat beberapa kajian mengenai setiap juri sebelum melantik mereka mengadili karya pada AJL tahun ini," ujarnya.

AJL27 bakal menyaksikan 12 buah lagu yang akan berentap seperti Idola nyanyian Azlan & The Typewriter, Patah Seribu (Shila Amzah), Pelangi Senja (Stacy), Anak Kampung (Jimmy Palikat & One Nation Emcees), Terukir Di Bintang (Yuna), Tanpamu (Amir Jahari) dan Ombak Rindu (Hafiz & Adira).

Enam lagu lagi yang turut terpilih adalah Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black & RJ), Ku Akui (Hafiz), Simetri (Hazama & Amy Search) dan Andaiku Bercinta Lagi (Mojo).

Acara itu bakal berlangsung pada 6 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini pukul 9 malam.

Ia bertemakan 'Ekspresi Seni' dan masih lagi mengekalkan pengacara AJL lepas iaitu Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad.

Acara karpet merah pada hari yang sama bakal menampilkan dua selebriti muda berbakat iaitu Miera Liyana dan Kamal Adli yang akan bermula pukul 7.30 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain