suria

12 Tahun Menduda, Ridzuan Hashim Selesa Hidup Solo

Redzuan Hashim Sudah 12 Tahun Menduda. Foto IBRAHIM MOHTAR
Redzuan Hashim Sudah 12 Tahun Menduda. Foto IBRAHIM MOHTAR
Redzuan Hashim Sudah 12 Tahun Menduda. Foto IBRAHIM MOHTAR

PETALING JAYA: Pelakon Ridzuan Hashim mengakui dia masih lagi sukar untuk mencari jodoh sejak menduda 12 tahun yang lalu.

Ridzuan, 48, berkata, sehingga kini, sudah beberapa kali perancangan untuk berumah tangga menemui kegagalan dan ia membuatkan dirinya lebih senang hidup solo.

"Perkara jodoh ini sukar untuk kita jangkakan. Adalah beberapa kali merancang nak kahwin tapi tak jadi.

"Bagaimanapun saya tak kata nak menduda selamanya. Cuma buat masa ini saya selesa begini (solo)," katanya.

Ridzuan ditemui pada majlis pelancaran program Panik, terbitan ntv7, di taman tema Sunway Lagoon, dekat sini, pada Rabu.

Tambah pelakon filem Bollywood, Don 2 itu, dia juga tidak menolak sekiranya jodohnya muncul dalam masa terdekat ini dan tidak meletakkan sebarang jangka masa untuk ke alam perkahwinan.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia masih lagi berkelakuan nakal, seperti zaman mudanya dahulu yang didakwa sesetengah pihak, kata Redzuan dia tidak sedar dengan perubahan kelakuannya itu, cuma lebih senang dengan menjadi diri sendiri tanpa bersikap hipokrit.

"Entahlah, saya pun tak tahu. Nakal dalam SMS (Sistem Pesanan Ringkas)sahaja kot.

"Lagipun saya tidak ada Facebook, sebab kebanyakan orang dalam laman itu belum tentu jujur.

"Saya lebih senang jika bersemuka secara depan," selorohnya.

Sementara itu, menerusi Panik, Ridzuan telah ditugaskan untuk mengendalikan program tersebut dan ia merupakan kali pertama dia menjadi hos.

"Sesuatu yang baru buat saya kerana ia merupakan pengendalian program pertama yang pernah saya lakukan.

"Agak kekok sedikit, tetapi selepas mengacara dua episod awal, keserasian dengan program ini telah pun wujud.

"Bagaimanapun, saya menjanjikan kelainan dalam cara penyampaian saya, terutamanya daripada segi interaksi bersama penonton," ujarnya.

Panik menampilkan dua kumpulan di mana kumpulan A terdiri daripada Milea Aimilia, Ika Nabila, Juffri Rayyan William dan Ezany Nizariff manakala kumpulan B dibarisi pelakon Danny (X-Factor), Marlon (V.I.P), Anis Al-Idrus dan Shakila Khoriri.

Para selebriti tersebut diuji di mana mereka diletakkan di tempat-tempat seram yang pernah menjadi bualan masyarakat

Setiap peserta dalam kumpulan akan menjadi mangsa kurungan dalam sebuah rumah atau bangunan gelap di tiga lokasi terpilih iaitu Muzium Perang di Pulau Pinang, Bukit Cerakah, Shah Alam dan Istana Kellie's, Perak.

Program tersebut akan ditayangkan setiap Rabu bermula 2 Januari tahun depan pukul 8.30 malam di ntv7.

Artikel Berikut

Artikel Lain