suria

Dazrin Kamarudin Belum Cukup Bagus

Dazrin memberitahu populariti yang diraih menerusi drama bersiri Adam dan Hawa dianggap sebagai satu bonus dan tidak mahu hanyut dalam arus populariti.
Dazrin memberitahu populariti yang diraih menerusi drama bersiri Adam dan Hawa dianggap sebagai satu bonus dan tidak mahu hanyut dalam arus populariti.
Dazrin memberitahu populariti yang diraih menerusi drama bersiri Adam dan Hawa dianggap sebagai satu bonus dan tidak mahu hanyut dalam arus populariti.

PETALING JAYA: Pelakon baru, Dazrin Kamarudin tidak meletakkan dirinya sudah cukup bagus walaupun semakin dikenali menerusi watak Johan menerusi drama bersiri Adam dan Hawa.

Dazrin, 24, berkata, populariti yang diraih menerusi drama itu dianggap sebagai satu bonus dan dia berjanji tidak mahu hanyut dengan populariti yang diperolehnya itu.

"Saya akui drama bersiri itu telah melonjakkan nama saya dalam bidang lakonan namun itu tidak bererti saya sudah bagus. Sebenarnya masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian selepas ini kerana saya masih baru.

"Malah saya mengambil peluang itu sebagai satu tanggungjawab untuk terus memperbaiki mutu lakonan saya supaya lebih mantap selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Dazrin yang ditemui semasa pelancaran program Fear Factor Selebriti Malaysia baru-baru ini turut memberitahu bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk menjayakan drama bersiri Adam dan Hawa sehingga kemunculannya sebagai pelakon semakin dikenali.

Dalam pada itu, Dazrin berkata, tahun 2013 yang bakal tiba tidak lama lagi bakal memberikan sinar baru dalam kerjayanya apabila menerima pelbagai tawaran dengan memegang watak utama dalam beberapa buah drama.

Bagaimanapun dia tidak mahu terlalu gelojoh dalam menerima kesemua tawaran tersebut kerana bimbang tidak dapat memberikan persembahan terbaik.

"Saya rasa adalah lebih baik saya terima satu watak untuk satu masa kerana masih belum yakin untuk membuat beberapa drama sekali gus dan bimbang akan menyusahkan pihak lain dan ingin menjaga mutu lakonan.

"Bukan mula besar kepala tetapi sebagai pelakon baru rasanya saya perlu bergerak perlahan-lahan supaya dapat memberikan terbaik terhadap sesuatu kerja yang dilakukan," jelasnya.

Sementara itu, Dazrin berkata, dia juga akan muncul dalam dua buah filem iaitu Apokalips X dan Lebuh Raya Ke Neraka pada Mei tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Dazrin berkata, dia menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia kerana meminati program itu sejak kecil dan teruja dapat melakukan pelbagai aktiviti lasak bersama 30 lagi rakan artis yang terlibat.

Program itu bakal disiarkan setiap Sabtu bermula 29 Disember ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain