suria

'Bella Award 2013' Angkat Tema 'She Sparkles'

Airin Zainul
Airin Zainul
Airin Zainul

KUALA LUMPUR: 'She Sparkles' akan diangkat menjadi tema bagi Anugerah Bella 2013 (AB2013), anugerah yang julung kalinya dianjurkan bagi memperjuangkan martabat wanita.

Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul berkata, pemilihan tema anugerah yang akan disiarkan secara langsung di ntv7 itu dipilih kerana ia sangat bersesuaian dengan ciri-ciri wanita yang sering diibaratkan sebagai batu permata dalam memberikan cahaya kepada orang sekeliling.

"Seperti yang semua ketahui, perkataan 'sparkle' sendiri bermaksud gemerlapan dan setiap wanita mempunyai cahaya gemerlap yang tersendiri dalam menyinari kehidupan masyarakat terutamanya terhadap orang yang mereka sayangi.

"Mereka juga diibaratkan seperti batu permata yang bukan sahaja bersinar daripada luaran tetapi juga dari dalaman yang telah memberikan pelbagai sumbangan terhadap masyarakat.

"Jadi, saya yakin, tema ini amat sesuai dengan AB2013 di mana ia mengiktiraf sumbangan dan kejayaan wanita yang menjadi inspirasi buat semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran AB2013 di Marini'S At 57, di Menara 3, KLCC, di sini.

AB2013 akan berlangsung pada 2 Mac 2013 bersempena sambutan Hari Wanita sedunia dan akan disiarkan pada pukul 9 malam. Bagaimanapun lokasi acara itu belum lagi ditetapkan.

Anugerah yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diilhamkan daripada sebuah rancangan temu bual wanita terbitan ntv7 iaitu Bella, sebuah program yang memberikan inspirasi buat wanita menerusi topik-topik berinformasi berkaitan golongan itu.

Sebanyak tujuh kategori yang akan dipertandingkan iaitu Bella Creative, Bella Style, Bella Beautiful, Bella Business, Bella Heart, Bella Mars dan anugerah utamanya, Bella Award.

"Pencalon-pencalonnya akan diumumkan pada Januari 2013 dan wanita yang dipilih berdasarkan kejayaan dan kehebatan mereka dalam kehidupan seharian tidak kira dari segi peribadi dan karier.

"Pihak kami ingin meraikan wanita-wanita yang mampu memberi inspirasi kepada orang luar sana.

"Selain itu, kami juga akan menampilkan barisan persembahan artis tanah air dan antarabangsa, peragaan pentas dan banyak lagi," kata Intan.

Sementara itu, anugerah tersebut turut disiarkan secara langsung di portal video www.tonton.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Bella 2013, layari www.ntv7.com.my atau di facebook dan twitter ntv7.

Artikel Lain