suria

Aziz M. Osman Sedia ‘Azura’ Dikritik

Pengarah filem Azura (2012) Aziz M. Osman (paling kiri) bersama barisan para pelakon Shahrizal Jaszle, Afdlin Shauki, Neelofa dan Nini Marlini. - Foto oleh M. AZHAR ARIF
Pengarah filem Azura (2012) Aziz M. Osman (paling kiri) bersama barisan para pelakon Shahrizal Jaszle, Afdlin Shauki, Neelofa dan Nini Marlini. - Foto oleh M. AZHAR ARIF
Pengarah filem Azura (2012) Aziz M. Osman (paling kiri) bersama barisan para pelakon Shahrizal Jaszle, Afdlin Shauki, Neelofa dan Nini Marlini. - Foto oleh M. AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pengarah filem Azura 2012 Aziz M. Osman bersedia menerima kritikan biarpun pelbagai pihak mempersoalkan filem tersebut kerana ia tidak sehebat filem Azura yang diterbitkan Sabah Film Production pada 1984.

Aziz berkata Azura 2012 adalah berbeza dan berharap orang ramai tidak membandingkan filem tersebut dengan filem asal yang diarahkan Deddy M. Borhan.

“Saya tidak mahu tonjolkan watak Azura sebagai seorang wanita yang lemah dan mudah mengalah seperti watak asal filem ini. Perwatakan dan perjalanan filem kali ini disesuaikan dengan mood semasa.

“Sebab itu saya berharap penonton menerima Azura 2012 seadanya dengan hati terbuka tanpa membandingkan ia dengan filem asalnya,” katanya yang ditemui selepas majlis pra-tonton filem itu di GSC One Utama, di sini, malam Isnin.

Ketika ditanya adakah dia berhadapan dengan dilema dan tekanan ketika menghasilkan filem itu, Aziz berkata ia langsung tidak mengganggu tumpuan dan tanggungjawabnya sebagai pengarah kerana Azura 2012 bukan sebuah filem versi baru (remake) tetapi hanya berinspirasikan idea filem asal itu sahaja.

“Sejujurnya saya tidak berdepan tekanan dalam menghasilkan filem ini kerana ia adalah naskhah yang berbeza. Ia bukan filem versi baru (remake) tetapi hanya sebuah adaptasi daripada idea dan konsep Azura.

“Namun, saya tidak menolak dilema yang akan dihadapi filem ini kerana ia akan mengundang perbandingan yang berterusan daripada penonton dengan filem lama Azura,” katanya yang mengakui sudah menghasilkan sebaik mungkin untuk filem itu.

Azura 2012 adalah filem arahannya ke-23. Kali terakhir anak sulung kepada pasangan pelakon veteran M. Osman dan Afida Es ini muncul dengan filem arahannya adalah menerusi Senario Pemburu Emas Yamashita pada 2006.

Filem Azura 2012 yang menggandingkan Neelofa, Shahrizal Jaszle, Afdlin Shauki, Erma Fatima, Nini Marlini dan Afida Es dan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta.

Diterbitkan Ace Motion Pictures Sdn Bhd, filem ini akan mula ditayangkan di lebih 70 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 2 Februari ini.

Artikel Lain