suria

Pilih Bintang Seberang, Pierre Andre Tidak Pandang Ringan Aktres Tempatan

Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek Foto ROHAIZAT MD DARUS
Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek  Foto ROHAIZAT MD DARUS
Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek Foto ROHAIZAT MD DARUS

PETALING JAYA: Pengarah filem Pierre Andre berkata pemilihan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari sebagai heroin filem Chantek kerana kesesuaian paras rupa dan karakter aktres itu sebagai pembantu rumah Indonesia untuk filem berkenaan.

Pierre, 26, juga menolak persepsi dia bersikap prejudis terhadap kredibiliti aktres tempatan sehingga mencari pelakon dari seberang bagi menggalas watak bernama Chantek menerusi filem komedi romantik itu.

"Tiada isu prejudis di sini. Bukan kerana pelakon Malaysia tidak bagus. Saya sendiri adalah karyawan Malaysia cuma di Indonesia pilihan untuk watak pembantu rumah itu lebih banyak berbanding di negara kita.

"Pemilihan Nurul adalah berdasarkan kesesuaiannya dengan watak itu ketika uji bakat diadakan," katanya pada sidang media selepas pra-tonton filem itu di Cathay e@Curve, di sini, Selasa.

Pierre berkata kesesuaian watak dan pilihan yang lebih ramai di kalangan pelakon Indonesia menjadi faktor dia mencari pelakon negara berkenaan bagi watak tersebut.

"Memang saya boleh ambil aktres tempatan tetapi untuk mejayakan watak itu, pasti penjiwaannya kurang kerana konflik lenggok dan stail pertuturan bahasa Indonesia yang tepat.

"Apabila kami mencari aktres Indonesia, ramai pelakon popular dan berbakat yang menghadiri uji bakat, sekaligus menawarkan banyak pilihan kepada kami untuk mencari calon paling sesuai," katanya.

Ditanya tentang cadangan pelakon asal iaitu Acha Septriasa bagi watak itu, Pierre berkata ia terpaksa ditukar memandangkan skrip filem yang ditulis hampir lima atau enam tahun yang lalu itu diterbitkan oleh syarikat produksi yang berbeza.

"Kalau mengikut perancangan asal, penerbit David Teo daripada MIG yang meminta saya menggunakan khidmat Acha sebagai watak pembantu rumah.

"Namun, ia tertangguh dan saya simpan sahaja skrip ini sehingga bertemu penerbit baru, Empat Semudra.

"Apabila mereka berminat, kami memutuskan untuk mencari pelakon lain yang lebih sesuai dengan watak itu," katanya.

Selain Nurul Ekasari dan Pierre sendiri, filem terbitan Empat Semudra Plantation Sdn Bhd ini turut membariskan Chew Kin Wah dan Maimon Mutalib.

Ia bakal ditayangkan pada 16 Februari ini di seluruh Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AJL26 Raih 6.5 Juta Penonton

Artikel Lain