suria

Capital FM Medium Baru Realisasi Keinginan Wanita

PETALING JAYA: Stesen radio baru, Capital FM diyakini mampu menjadi medium baru untuk merealisasikan keinginan wanita di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Star Publications (Malaysia) Berhad merangkap Pengerusi, Kumpulan Star Radio, Ho Kay Tat, berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Capital FM di pejabat Capital FM, di sini, Rabu.

“Tinggal sebulan lagi, kita akan memasuki tahun 2012. Sebagai penggerak Capital FM, kami sama sekali teruja dan gembira untuk menyediakan medium baru secara menyeluruh untuk wanita di negara ini menikmati radio.

“Pelbagai segmen menarik dan penyampai terpilih bakal menjaminkan sesuatu yang mampu memenuhi keinginan setiap wanita, bermula awal pagi hingga lewat malam setiap hari,” kata beliau.

Beliau juga yakin dengan adanya sebuah lagi stesen radio baru di bawah Kumpulan Star Radio akan menghasilkan gabungan yang mantap dengan pakej kandungan program dan kru yang unik selepas kemunculan radio 98.9, Red FM dan Suria FM di bawah Rimakmur Sdn Bhd.

“Dengan tawaran pelbagai portfolio media, Star Publications kini mensasarkan lebih banyak peluang pasaran dan pilihan untuk pengiklanan.

“Kami juga akan meneruskan peluang lain dalam menyediakan sesuatu kepada keperluan industri,” ujar beliau lagi.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Eksekutif, Star Publications (Malaysia) Berhad, Datuk Vincent Lee, Timbalan Ketua Penyiaran Kumpulan Star Radio, Tan Chong Kheng dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Capital FM membariskan penyampai-penyampai popular dan ternama seperti Asha Gill, Joanne Kam, Xandria Ooi, Patricia K, Sheela Haran, April Kuan, Joey G dan Liang serta seorang penyampai jemputan pada setiap bulan.

Stesen radio ini bakal ke udara secara rasmi pada 1 Disember ini menerusi frekuensi 88.9 di seluruh Lembah Klang, Bidor, Sungkai, Tanjong Malim, Kuala Lumpur, Klang, Petaling Jaya, Cyberjaya, Nilai dan sebahagian tempat di Seremban.

Stesen radio ini disasarkan kepada wanita urban yang berumur 25 hingga 35 tahun dengan tagline Women- The New Capital.

Artikel Sebelum

Artikel Lain