suria

Krisis Pak Long & Kumpulan Kristal Selesai Cara Baik

Pak Long.
Pak Long.
Pak Long.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shafie Ahmad,46, atau lebih dikenali sebagai Pak Long yang popular dengan lagu Selagi Ada Rindu berjaya menyelesaikan kesnya dengan Kumpulan Kristal yang dikatakan “mencuri” lagu berkenaan untuk dimuatkan dalam album mereka.

Pak Long berkata, hasil perbincangannya dengan syarikat rakaman Music Valley, mereka telah mencapai kata sepakat untuk tidak memanjangkan kemelut itu.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak pengurusan yang menerbitkan album Kumpulan Kristal tidak lama dahulu dan kami mencapai persetujuan yang baik. Pihak Music Valley pun sudah memasukkan nama saya dalam album Kristal sebagai pemilik asal lagu berkenaan.

“Malah syarikat itu juga memberi peluang kepada saya menghasilkan beberapa buah lagu untuk artis dia bawah syarikat mereka,” katanya kepada mStar Online semasa majlis pelancaran single terbaru nyanyiannya di Restoran Rebung di sini, Selasa.

Pak Long menambah, dia gembira lagu berkenaan yang pernah dia popularkan untuk album pertamanya pada tahun 2008 dinyanyikan semula oleh artis lain dengan susunan muzik berbeza.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pak Long baru menyiapkan “single” terbarunya berjudul Rindu Tetap Merindu yang merupakan kesinambungan Selagi Ada Rindu.

Lagu edaran syarikat rakaman FMC itu katanya telah dihantar ke stesen-stesen radio dan sedang menunggu giliran untuk disiarkan.

Ujarnya, lagu tersebut ditulis kira-kira dua tahun lalu yang mengisahkan mengenai alam dan percintaan.

“Saya suka berimaginasi ketika menghasilkan lagu. Lagu ini dibuat di tepi pantai sambil mengimbas pengalaman saya merindui peminat-peminat saya,” uarnya.

Tambah Pak Long lagi, istimewanya “single” tersebut kerana turut memasukkan bahasa daripada petikan sastera lama selain berkonsepkan etnik balada. Ia turut memuatkan muzik berunsurkan rock, Arab dan kemelayuan.

Ditanya tidakkah dia berasa bimbang kerana terpaksa bersaing dengan artis-artis yang lebih muda, bapa kepada tujuh orang anak berusia lapan hingga 11 tahun ini memberitahu, tidak berasa bimbang dengan hal tersebut.

Ujarnya, karya yang dihasilkan tiada kaitan dengan usia tetapi apa yang lebih penting bagaimana sesebuah lagu itu mampu memikat hati pendengar selain mampu bertahan lama.

Pak Long yang pernah menghasilkan lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian kumpulan Jin Bara dan Al-Jannah yang dipopularkan Mawi turut memberitahu, selepas “single” tersebut popular, dia berhasrat menghasilkan sebuah album penuh yang dijangka berada di pasaran pertengahan tahun 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain