suria

Botox Bukan Isu Besar Bagi Ruth Sahanaya

Ruth Sahanaya
Ruth Sahanaya
Ruth Sahanaya

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Ruth Sahanaya, 45, menganggap penggunaan botox dan menjalani pembedahan plastik untuk kecantikan diri bukan satu isu besar buatnya.

Kata Ruth, dia percaya setiap bahagian tubuh yang diubah adalah disebabkan untuk mendapatkan keyakinan dan kepuasan dalam diri seseorang.

"Rasanya tidak salah jika seseorang wanita ingin menjaga kecantikan dengan pengambilan ubat-ubatan seperti botox atau menjalani pembedahan plastik demi kepuasan diri.

"Saya juga begitu di mana pada tahun 2005 saya menjalani pembedahan plastik pada payudara saya. Bukan mahu menunjuk, tetapi ia dapat memberi keyakinan lebih pada diri saya," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya di Hotel The Royale Chulan, di sini, Selasa.

Bagaimanapun kata Ruth, hanya payudaranya sahaja yang bukan asli manakala bahagian tubuh yang lain lebih diberi perhatian menerusi penjagaan makanan dan senaman.

Selain itu, penyanyi ini turut memberikan tip kecantikan iaitu dia sentiasa memberikan senyuman dan memiliki pemikiran yang positif untuk mendapatkan wajah agar kelihatan sentiasa muda.

Sementara itu, Ruth buat pertama kalinya bakal muncul dengan konsert berskala besar, iaitu Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya, yang akan berlangsung pada 17 Disember depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert yang dianjurkan oleh A'caralis Kuala Lumpur Sdn Bhd itu turut mendapat kerjasama daripada sebuah badan kebajikan, Anak Darul Aman Malaysia (Anak) di mana sebahagian hasil kutipan tiket konsert akan disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan yang memerlukan.

Menurut Ruth, dia tidak sangka dirinya dapat mengadakan konsert selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik Indonesia.

"Konsert ini adalah siri jelajah saya bersempena dengan 25 tahun pembabitan dalam kerjaya muzik saya. Pada konsert itu nanti saya akan membawakan sebanyak 30 buah lagu popular yang dipetik dari 15 album nyanyian saya selama dua jam setengah.

"Harap-harap, para peminat dapat menyanyi bersama saya pada konsert itu nanti," ujarnya.

Konsert tersebut turut menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai penyanyi undangan.

Tiket berharga RM1,500, RM588, RM388 dan RM128 boleh didapati dengan melayari laman web www.ilassotickets.com atau untuk maklumat terkini mengenai konsert sila layari www.meportal.net

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain