suria

Fauziah Nawi Enggan Habiskan Duit Beli 'Props'

Fauziah Nawi. Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Fauziah Nawi. Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Fauziah Nawi. Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauziah Nawi tidak mahu membazir dengan menghabiskan wang peruntukan hanya sekadar membeli peralatan persembahan atau props untuk menerbitkan sesebuah pementasan teater.

Fauziah berkata, wang peruntukan itu lebih baik diberikan kepada pelakon-pelakon yang banyak menghabiskan masa mengadakan latihan bagi menjayakan sesebuah teater itu.

"Saya percaya, dengan memiliki kualiti skrip yang bagus, pementasan teater tanpa peralatan persembahan sudah memadai. Malah keadaan ini membuatkan pelakon lebih fokus dalam setiap lakonan mereka tanpa bergantung harap pada benda yang berada di keliling mereka.

"Diakui, tidak ada bajet juga merupakan sebahagian punca syarikat saya, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) tidak menerbitkan teater berskala besar. Malah saya juga kurang senang pada mulanya apabila terpaksa menghasilkan teater yang 'kosong'," katanya.

Namun begitu, apabila menjayakan beberapa teater tanpa props, barulah dia sedar tentang kualiti lakonan yang dibuat agar kelihatan lebih jujur dan penonton lebih menghayati plot persembahan.

Sementara itu, Stefani akan menganjurkan sebuah teater kapsul berjudul Kembang Layarku (KLKU) bermula pada 3 hingga 8 Oktober depan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pukul 9 malam.

Menurut Fauziah, KLKU ini juga merupakan teater yang hanya membabitkan beberapa pelakon sahaja yang terdiri daripada Jihan Muse, Ku Hariz, Chi Azim , Raja Emy Shahril dan Oreo.

"KLKU merupakan teater yang sangat ringkas persembahannya tetapi padat dengan mesej di mana ia berkisar tentang kehidupan masyarakat zaman kini yang melalui pelbagai rencah kehidupan.

"Saya percaya, dengan bakat pelakon-pelakon yang ditampilkan, mereka sahaja sudah cukup kuat untuk menyampaikan mesej kepada penonton. Saya harap ia mendapat sambutan," tuturnya.

Bercerita mengenai penubuhan Stefani, Fauziah berkata dia mahu memberi peluang kepada pelakon-pelakon baru untuk menimba ilmu lakonan dengannya tanpa sebarang bayaran.

Malah, menerusi latihan yang dibuat, syarikat yang diusahakan selama lapan tahun itu akan menganjurkan beberapa aktiviti pementasan yang akan dilakonkan oleh anak-anak muridnya sendiri.

"Orang selalu kata, nak berniaga kena ada untung, tapi lain pula buat saya yang mahu industri lakonan tempatan tidak kiralah teater, drama atau filem mempunyai kualiti lakonan yang bagus.

"Alhamdulillah, ramai anak murid saya yang kini bergelar pelakon popular. Malah, mereka datang semula ke Stefani untuk mengasah lakonan masing-masing," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain