suria

Azad Terima Kritikan Dikatakan 'Over'

Azad Jasmin
Azad Jasmin
Azad Jasmin

PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin, 35, mengakui ada menerima maklum balas negatif mengenai lakonannya dalam drama www.cikgushida.com yang ditayangkan di Astro Citra bersempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Dikatakan 'over' sehingga menimbulkan perasaan kurang senang penonton ketika memegang watak sebagai wartawan bernama Loqman, Azad menjelaskan dia hanya mengikut idea dan kehendak pengarah drama tersebut, Isqandar Jebat bagi menjayakan peranan itu.

"Sebagai pelakon saya perlu mengikut watak dan garis panduan yang diberikan oleh pengarah bagi menjayakan peranan itu, mungkin kali ini ia nampak sedikit melampau pada mata sesetengah penonton," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Mengambil pandangan dan maklum balas mengenai lakonannya sebagai perkara positif, Azad memberitahu ia bukti penonton mula menyedari lakonannya di kaca televisyen dan berjanji akan memperbaiki mutu lakonannya pada masa akan datang.

"Saya tidak perlu melenting jika ada orang marah mengenai mutu lakonan saya tetapi mengambil ia sebagai satu pandangan positif untuk terus memperbaiki diri," ujarnya yang seronok berlakon disamping Cikgu Shida.

Www.cikgushida.com, drama komedi yang menampilkan personaliti Youtube popular, Cikgu Shida mengisahkan tentang dua orang wartawan iaitu Cik Baba (Omar Abdullah) dan Loqman yang mendapat tugasan untuk mencari Cikgu Shida dari Parit , Perak.

Tugasan itu adalah untuk laporan eksklusif keluaran surat khabar pada hari raya pertama dan mereka perlu menyiapkan tugasan tersebut dalam tempoh 72 jam sebelum raya.

Dalam perkembangan lain, Azad yang bakal berkahwin dengan pelakon Eira Syazira pada 16 September ini memberitahu, dia dan bakal isterinya telah dipilih oleh syarikat rakaman FG Music untuk merakamkan sebuah lagu duet berjudul "Lagu Jiwa" ciptaan Manusia Putih.

Lagu berkenaan yang telah siap proses rakamannya itu dijangka akan berada di pasaran sekitar November depan.

Artikel Sebelum

Terbaru Daripada Beyonce Knowles

Artikel Berikut

Artikel Lain