suria

Azlan (The Typewriter) Akui Takut Didik Anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter meluahkan rasa gembira dan teruja untuk menimang anak yang dijangka akan dilahirkan pada 2 Januari tahun depan.

Menurut Azlan, kandungan isterinya, Normala Hassan, sudah berusia enam bulan dan dia seolah-olah tidak sabar untuk melihat wajah anaknya yang bakal lahir itu.

"Beberapa hari lepas, saya dan isteri telah membuat imbasan dan berkemungkinan besar kami akan mendapat anak perempuan.

"Cuma harapan saya biarlah isteri dan bakal anak perempuan saya ini menjalani proses kelahiran dengan selamat," katanya.

Tambah Azlan, bagaimanapun dia risau jika gagal menjadi seorang bapa yang baik daripada segi mental memandangkan dia tidak berpengalaman menjaga kanak-kanak.

"Walaupun berasa seronok dan teruja, pada masa yang sama, saya begitu takut untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa.

"Lebih-lebih lagi dari segi didikan, cara zaman dahulu dan sekarang lain. Kanak-kanak sekarang lebih bijak dan pada masa yang sama sukar dikawal jika tersilap cara ajarannya," katanya yang begitu prihatin dengan penjagaan kesihatan isterinya itu.

Sementara itu, dalam penantian kelahiran anak sulung itu, Azlan juga sibuk dengan pembikinan album baru serta sedang membuat pengubahsuaian untuk mendirikan sebuah studio rakaman di Jalan Gurney, dekat sini.

"Tahun ini memang macam-macam perancangan yang saya ada. Saya juga akan membuka sebuah studio berkonsepkan hotel, di mana bagi sesiapa yang ingin membuat rakaman di studio, boleh membuat pakej penginapan sekali.

"Maklumlah, bila buat rakaman, masa yang digunakan mencecah ke waktu pagi. Jadi, bagi yang letih dan ingin berehat, kami memberikan bilik yang ruangnya amat selesa. Saya percaya, ramai yang akan menyukai lokasi studio ini kerana ia begitu tenang dan strategik. Malah, studio itu juga boleh dijadikan sebagai lokasi penggambaran drama atau filem," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain