suria

Semangat Merdeka Artis Baru & Lama

Nasha Aziz.
Nasha Aziz.
Nasha Aziz.

PETALING JAYA: Semangat patriotik dan kemerdekaan begitu menebal di kalangan artis tempatan apabila mereka bercerita tentang perkara yang meninggalkan kesan di hati mereka sempena Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

Pelakon Nasha Aziz, Ruminah Sidek, penyanyi Maulana dan chef selebriti Chef Riz melontarkan pandangan dan perasaan tersendiri yang berbeza-beza apabila berbicara tentang kemerdekaan.

Bagi Nasha, nilai kemerdekaan yang telah dicapai suatu ketika dahulu bagaikan sudah tiada makna apabila negara masih dijajah dengan pelbagai masalah jenayah yang berleluasa di mana-mana.

“Walaupun kita sudah 54 tahun menyambut merdeka tetapi kita masih diganggu-gugat oleh sikap orang yang tidak menghargai erti sebenar kebebasan, suci dan harmoni yang sepatutnya dipelihara sepanjang zaman,” katanya.

Sementara Maulana lebih bersyukur dengan pencapaian kemerdekaan negara dan berharap Malaysia akan terus aman dan damai.

“Saya bersyukur kerana negara kita telah merdeka selama 54 tahun dan hidup dalam negara yang aman damai. Saya juga sangat bersyukur kerana negara ini tidak ditimpa bencana-bencana dan rusuhan-rusuhan yang teruk. Saya berharap negara kita akan sentiasa aman dan sentosa,” ujar penyanyi lagu RSVP ini.

Beralih kepada Chef Riz pula, dia lebih bangga dengan pengorbanan dan perjuangan yang pernah diberikan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan termasuk Tunku Abdul Rahman.

“Saya sangat terkesan dengan pengorbanan dan perjuangan tokoh-tokoh politik kita yang tidak mengenal erti mengalah dalam usaha untuk memenangi kemerdekaan tanah air kita,” katanya ringkas.

Manakala Ruminah Sidek atau Mak Mah lebih berpegang kepada pesanan arwah bapanya yang sentiasa setia dengan parti politik bagi menunjukkan semangat cintakan negara.

“Arwah bapa saya pernah berpesan supaya jangan bertukar parti dan mengekalkan semangat patriotik sehingga ke mati,” ujarnya penuh bermakna.

Artikel Sebelum

Artikel Lain