suria

Shy8 Terkenang Beraya Di Hospital Kerana Gastrik

KUALA LUMPUR: Pelakon dan Deejay Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail atau mesra disapa sebagai Shy8, tidak dapat melupakan kenangan pahit menyambut Hari Raya di hospital.

Kata Shy8 yang turut popular dengan gelaran Ucop Wilcha, ketika berumur 20 tahun, dia telah dimasukkan ke wad selama dua hari kerana diserang gastrik sehari sebelum Hari Raya.

“Kenangan yang tak dapat dilupakan ketika umur saya lingkungan 20-an, saya telah dimasukkan ke wad selama dua hari kerana diserang penyakit gastrik dan yang sedihnya, saya dimasukkan ke wad sehari sebelum raya.

“Ketika itu, pesakit lain semuanya mengambil cuti dan pulang beraya kecuali saya seorang. Apabila mendengar takbir berkumandang dan mengenangkan nasib saya yang berada di hospital, terasa sayu di dalam hati kerana tidak dapat bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Shy8 yang kali pertama menyambut Hari Raya sebagai seorang artis mengakui sanggup berkorban cuti demi menjalankan tugasnya sebagai deejay radio Hot FM.

"Saya tidak kisah cuti atau tidak kerana dulu juga saya pernah bekerja pada Hari Raya. Walaupun saya tidak dapat cuti raya tapi saya masih bersama isteri dan anak, itu sudah memadai," ujarnya.

Shy8 yang mengendalikan segmen AM Krew bersama Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG akan bekerja seperti biasa pada pagi Hari Raya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain