suria

Isteri Badri (My Starz LG) Hamil Selepas Ambil Anak Angkat

Badri (dua dari kiri) bahagia bersama-sama keluarganya. - Foto SAM THAM
Badri (dua dari kiri) bahagia bersama-sama keluarganya. - Foto SAM THAM
Badri (dua dari kiri) bahagia bersama-sama keluarganya. - Foto SAM THAM

PETALING JAYA: Berkat rezeki mengambil anak angkat setahun lalu, kini isteri penyanyi Badri Ibrahim (My Starz LG musim pertama), 32, sedang hamil lebih tujuh bulan.

Badri dan isterinya, Atina Awang, 42, mula membela anak angkat perempuan bernama Heidi yang bakal berusia setahun pada 9 Jun ini.

Biarpun begitu, jauh di sudut hati pasangan ini, mereka tetap menganggap Heidi sebagai anak kandung sendiri dan berjanji tidak akan membeza-bezakan antara Heidi dan anak yang bakal lahir tidak lama lagi.

“Saya anggap Heidi ibarat rezeki kami kerana setelah menjaganya setahun lalu, rezeki keluarga saya semakin bertambah dan isteri saya juga hamil. Sudah tentu kami bersyukur dan gembira dengan berita ini.

“Disebabkan kami telah mempunyai pengalaman menjaga Heidi sejak dia bayi, jadi kami tidak kekok untuk menyambut kelahiran bayi kedua ini. Persediaan barangan bayi yang dilakukan tidak banyak berbeza seperti yang dibelikan kepada Heidi kerana kami mahu memberikan hak yang sama rata kepada anak-anak ini,” kata Badri yang sedang bekerja sebagai pegawai perhubungan media di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sejak setahun lalu.

Sebelum itu, dia pernah berkhidmat dengan Proton selama empat tahun. Dia berkahwin dengan Tina yang berstatus ibu tunggal kepada tiga orang anak yang berusia di antara 18 hingga 23 tahun.

“Setakat ini saya sudah menyediakan dua hingga tiga nama untuk bayi yang akan lahir ini tetapi belum menetapkan yang mana satu. Setakat ini, doktor mengesahkan bayi perempuan,” ujarnya.

Biarpun lama menyepi daripada industri seni, penyanyi ini masih menerima beberapa undangan nyanyian majlis korporat dan menjadi suara latar untuk pesanan khidmat awam (PSA).

Jelasnya, dia mahu memfokuskan kepada karier tetapnya dan menjadikan nyanyian sebagai aktiviti di waktu lapang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain