suria

Imuda Terkilan Bakatnya Dipandang Sepi

Imuda
Imuda
Imuda

PETALING JAYA: Pelawak Imuda mengakui nasib dia dan pelawak-pelawak yang seangkatan dengannya sudah dipandang sepi oleh penerbit-penerbit drama atau filem tempatan pada hari ini.

Dia kesal kebanyakan penerbit hanya menggunakan pelakon yang sama dalam sesebuah filem atau drama sedangkan ramai lagi pelakon yang mempunyai bakat tetapi tidak diberi peluang.

“Saya hanya terkilan kerana tidak diberi peluang untuk berlakon lagi sehingga ramai yang menganggap saya sudah bersara daripada bidang ini.

“Tapi hakikatnya mereka tidak memanggil saya untuk berlakon. Kini hampir tiga tahun saya tiada sebarang pekerjaan dalam bidang lakonan.

“Namun saya tahu perkara ini bukan saya sahaja yang melaluinya, malah rakan-rakan yang lain juga begitu,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan penerbit memberi peluang kepada muka yang sama atau kroni mereka dalam setiap drama yang diterbitkan.

“Apa yang saya lihat dari satu filem ke filem lain atau drama menggunakan pelakon-pelakon yang sama sahaja iaitu kroni-kroni mereka.

“Malah ada juga yang bila terjumpa saya, mula menawarkan saya berlakon tapi akhirnya tiada watak yang sesuai untuk saya dalam filem mereka,” katanya kesal.

Kata Imuda, sebagai pelakon lama, dia tidak mahu dikatakan seperti terlalu meminta-minta untuk berlakon.

“Kalau saya pelakon baru mungkin juga saya tidak malu untuk berbuat demikian, berjumpa semua pengarah atau penerbit perkenalkan diri.

“Takkan pula saya nak terhegeh-hegeh bertanya tentang kerja,” katanya yang kini bertugas sebagai Kartunis sepenuh masa.

Bagaimanapun, Imuda tidak menolak perkara tersebut sebagai rezeki masing-masing.

“Sudah lumrah industri hiburan kita selalu mementingkan mereka yang baru dan ada rupa. Dan saya juga percaya mungkin itu adalah rezeki mereka,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain