suria

Tiara Pilih Steven Dexter Untuk Tingkatkan Mutu Teater

Penerbit The Secret Life of Nora, Datin Seri Tiara Jacquelina (kanan) dan pengarah Steven Dexter. - Foto ART CHEN
Penerbit The Secret Life of Nora, Datin Seri Tiara Jacquelina (kanan) dan pengarah Steven Dexter. - Foto ART CHEN
Penerbit The Secret Life of Nora, Datin Seri Tiara Jacquelina (kanan) dan pengarah Steven Dexter. - Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Keputusan membawa pengarah dan penulis teater dari England iaitu Steven Dexter sebagai pengarah teater muzikal The Secret Life of Nora (TSLN), adalah untuk mempelajari cara kerja warga luar yang arif dan berpengalaman dengan pentas muzikal antarabangsa.

Penerbit Eksekutif teater muzikal itu Datin Seri Tiara Jacquelina berkata, pemilihan Dexter yang merupakan salah seorang pengarah ternama di pentas West End, London adalah bertepatan dengan visinya untuk terus meningkatkan kualiti teater muzikal terbitan syarikatnya, Enfiniti Vision Media ke tahap lebih tinggi.

"Hanya dengan melakukan perubahan besar iaitu merombak keseluruhan produksi termasuk membawa pengarah baru dapat meningkatkan standard produksi kali ini.

"Pemilihan Steven dilakukan kerana kepakaran dan pengalamannya sebagai pengarah dan penulis daripada pentas teater di West End, London.

"Untuk meningkatkan standard muzikal tempatan, kita perlu belajar daripada yang terbaik. Sudah terbukti bahawa penggiat teater di barat jauh berpengalaman daripada kita," katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan Dexter di Kota Damansara, di sini, Selasa.

Sementara itu, Dexter yang pernah mengarahkan teater Peter Pan (2003) berkata, dia tertarik untuk menerima tawaran produksi tempatan kerana plot dan konsep TLSN yang unik, asli, segar dan bertenaga.

"Saya cukup teruja dengan tanggungjawab ini walaupun terpaksa bekerja-keras bagi menyiapkan proses pra-produksi teater ini.

"Penglibatan dalam produksi ini tidak seperti bekerja, sebaliknya ia cukup teruja seperti bermain," katanya yang akan menginap di ibu negara selama beberapa bulan bagi proses pra-produksi TSLN.

Muzikal yang berlatarkan Pulau Pinang di era 1960-an berkisar tentang seorang penyanyi kabaret yang jelita bernama Nora.

Selain gemar bersuka-ria dan bersikap keanak-anakan, Nora juga memiliki sebuah panggung teater yang dihadiahkan oleh bapanya.

Tanpa diketahui, Nora sebenarnya mewarisi perniagaan iaitu mengeksport barangan ke luar secara haram yang ditinggalkan oleh bapanya.

Ketika hampir dipenjarakan atas kesalahan itu, Nora bagaimanapun diberi peluang kedua oleh pihak berkuasa untuk menebus kesalahannya.

Dia perlu menjalani latihan sebagai seorang perisik untuk menyusup masuk ke salah satu rangkaian penyeludupan manusia terbesar.

Akhirnya, Nora terpaksa menyelamatkan nyawa sendiri dan semua gadis diseludup itu.

Dia turut terperangkap dalam dilema di antara lelaki yang dicintainya dan rahsia yang perlu disimpan kemas.

TSLN bakal dipentaskan pada penghujung September depan dengan menampilkan Tiara sebagai Nora.

Artikel Berikut

Artikel Lain