suria

Yana Tidak Silap Percaturan

Siapa bisa menduga pembabitannya dalam filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham pada awal tahun ini telah merubah segala-galanya. - Foto oleh SIA HONG KIAU
Siapa bisa menduga pembabitannya dalam filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham pada awal tahun ini telah merubah segala-galanya. - Foto oleh SIA HONG KIAU
Siapa bisa menduga pembabitannya dalam filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham pada awal tahun ini telah merubah segala-galanya. - Foto oleh SIA HONG KIAU

JURNAL 2010 aktres muda ini cukup indah untuk ditatap. Selepas tujuh tahun bertatih untuk memahat nama di persada seni tanah air, Yana Samsudin kini boleh tersenyum lebar dengan pencapaiannya.

Bukan tidak berbakat atau kurang paras rupanya, namun titian anak seni dari Yong Peng, Johor ini ke puncak populariti seakan penuh ranjau dan berliku sebelum ini.

Percubaannya untuk bergelar pengarah filem wanita termuda, dua tahun lalu juga mengundang kecaman banyak pihak apabila filem Selamat Pagi Cinta itu diragui dan ‘dingin’ di panggung.

Ujian getir itu tidak menjatuhkan Yana bagaimanapun. Sebaliknya, berbekalkan semangat dan komitmen yang tinggi, Yana berganjak seketika daripada lapangan belakang tabir ke depan skrin.

Mungkin sudah tuah dan rezekinya, peralihan itu membuahkan hasil buat wanita berusia 26 tahun ini. Kurang dua tahun sejak pertama kali muncul sebagai pelakon filem Histeria (2008), Yana kian jinak di pentas lakonan.

Lambakan drama televisyen, sama ada besar atau kecil wataknya yang menyusul selepas itu semakin menyerlahkan nama Yana di mata umum.

Memang sudah rezeki, siapa bisa menduga pembabitannya dalam filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham pada awal tahun ini telah merubah segala-galanya.

Filem komedi ringan itu bukan saja menggegarkan penggemar filem Melayu hingga mencatat kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia, lebih manis lagi, naskhah itu turut membawa tuah kerana menerusi watak Wawa itu jugalah Yana lebih dikenali.

“Saya amat bertuah di atas peluang yang diberikan kepada saya. Tanpa saya menduga sama sekali, jodoh saya dengan Adnan Sempit telah membuka seluas-luasnya lembaran baru dalam karier seni.

“Kepercayaan yang diberikan itu amat saya hargai kerana selepas percubaan untuk bergelar pengarah itu harus saya letak ke tepi buat seketika, saya tidak jangka langkah saya ke dunia lakonan diterima baik pula.

“Mungkin sudah rezeki dan tuah kerana penglibatan di depan skrin ini lebih menyerlahkan saya di mata umum,” katanya kemas menyimpul senyuman.

Gila glamor dan tamak

Melanjutkan perbualan kami petang itu, anak ketiga daripada lima beradik ini terus diasak dengan fokus dan visi sebenarnya berkecimpung dalam bidang seni.

Dia yang bermula sebagai penyanyi dan sempat melahirkan album Yana Ceria (2004) bersama MIG Records, kemudiannya dilihat menyusuri laluan seni tempatan sebagai pelakon, tampil pula dengan kejutan apabila bergelar pengarah filem sebelum bergiat aktif sebagai pelakon semula.

“Saya tak nafikan memang ramai yang melabel saya gila glamor dan tamak kerana ingin menonjol dalam pelbagai bidang tetapi tidak memberikan impak pun. Namun, saya bukan jenis yang mudah putus asa dengan kecaman dan kritikan orang.

“Jika saya tahu apa yang saya lakukan itu betul dan wajar, saya akan cuba sehabis baik. Lagipun, semua perkara yang saya lakukan itu masih berlegar dalam bidang seni juga.

“Kini, saya semakin yakin bidang lakonan adalah platform yang membuka rezeki dan tuah waktu ini. Kerja saya semakin dihargai dan mendapat perhatian umum dan inilah keutamaan saya sekarang,” jawabnya.

Tidak silap percaturan

Ternyata langkahnya ke dunia lakonan ini bukan silap percaturan. Bukan saja Yana kian mengecap populariti selepas filem Adnan Sempit dan drama bersiri Siti Kelembai memikat perhatian ramai, aktres berwajah kecinaan ini juga mendapat pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Menariknya, sehari sebelum nama Yana diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di FFM23, malam Rabu lalu, kami sempat bergurau tentang potensi aktres itu untuk menang.

Ketika pertemuan untuk sesi fotografi bersama Mingguan mStar berlangsung, Selasa lalu, wanita yang terkenal dengan gaya selambanya ini tidak sudah-sudah ketawa tanpa meletakkan sebarang harapan.

Yana dengan rendah dirinya menyifatkan pencalonan itu bagaikan satu rahmat buatnya. Namun siapa sangka, persembahan Yana dalam Adnan Sempit berjaya menawan juri hingga diangkat sebagai pemenang.

Justeru, apabila dihubungi pada Jumaat bagi bertanyakan impak anugerah itu padanya, Yana mengakui gementar dan bimbang untuk meneruskan karier lakonannya.

Apabila pengiktirafan sebesar itu sudah memalit diri, secara tidak langsung jangkaan orang terhadap mutu kerjanya juga melonjak sekali gus.

“Memang saya gembira dengan kejayaan ini tetapi jauh di lubuk hati terpalit juga kebimbangan terhadap jangkaan dan harapan orang ramai terhadap kerja saya selepas ini.

“Saya gementar untuk memastikan kerja saya selepas ini terus meningkat dan bertambah baik daripada sebelumnya. Namun, ini satu cabaran yang positif untuk terus bekerja keras,” katanya.

Susulan kemenangan itu, Yana lantas diusik mengenai impian yang kerap dicanangnya sebelum ini bahawa lakonan itu hanya persinggahan dan dia tetap akan kembali ke kerusi pengarahan satu hari nanti.

Balas Yana, kerja belakang tabir akan terus menjadi impian jangka panjangnya manakala peluang dan rezeki sebagai pelakon yang terhidang tika ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kalau diikutkan, memang saya sendiri pun tak jangka peralihan saya ke dunia lakonan mampu membuahkan hasil sebesar ini. Memandangkan rezeki dan tuah memihak pada bidang lakonan waktu ini, jadi saya harus menggunakan platform ini sebaik mungkin untuk memantapkan diri dengan ilmu seni.

“Namun, tidak bermakna selepas menang dalam kategori pelakon ini hasrat dan impian untuk kembali ke kerusi pengarahan itu akan terkubur terus.

“Bila tiba masa dan peluang yang sesuai, saya pasti akan kembali mengarah untuk membuktikan betapa cintanya saya terhadap bidang itu. Buat masa ini, biar saya nikmati dulu suka-duka bergelar pelakon,” rangkumnya ringkas menoktahkan perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain