suria

Pemuzik Indie Pemalas - Syafinaz

PENYANYI dan guru vokal Syafinaz Selamat (gambar) tidak takut untuk berterus terang dengan berkata pemuzik indie di negara ini pemalas.

Syafinaz merujuk kepada band indie yang dipanggil untuk diuji bakat dalam pertandingan muzik redAMP 2010 yang dianjurkan AirAsia Red Tix.

Peringkat akhir pertandingan tersebut akan diadakan sebelum Ogos ini di Kuala Lumpur.

Kata Syafinaz, segelintir daripada mereka yang dipanggil untuk menghadiri sesi uji bakat tidak mengambil peluang dengan sebaik mungkin.

"Padahal pertandingan sebegini bukan selalu diadakan apatah lagi ia melibatkan Malaysia dan negara-negara Asean yang lain.

"Lagu-lagu mereka akan diperdengarkan di seluruh negara Asean. Menang atau kalah adalah perkara lain tetapi semangat band indie kita yang kurang," katanya.

RedAMP 2010 ialah pertandingan mencari band indie terbaik di kalangan negara-negara Asean.

Beliau diminta mengulas kedudukan Malaysia yang mempunyai bilangan penyertaan kedua tertinggi dalam pertandingan redAMP 2010 tetapi cuma mempunyai dua wakil band di peringkat separuh akhir.

Syafinaz berpendapat, band-band indie sepatutnya memberikan lebih banyak usaha, untuk menyertai pertandingan seperti itu.

Semasa berada di Bali pada minggu lalu Syafinaz yang juga juri pertandingan tersebut berpeluang melihat klip video 20 band indie terbaik yang berjaya memasuki separuh akhir.

"Terdapat ahli-ahli band yang hanya pakai seluar pendek dan selipar semasa sesi uji bakat. Mereka sepatut tampil dengan imej yang lebih kemas semasa memasuki pertandingan," katanya.

Sementara itu, Syafinaz berkata, band indie yang berbakat boleh menghasilkan album yang bagus untuk dijual kepada peminat sebagai sumber pendapatan dan perkara itu harus diambil serius oleh mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain