suria

Gelaran Datuk: Saya Masih Chef Wan Yang Sama!

Chef Wan menganggap anugerah Datuk sebagai satu peringatan bahawa segala pengorbanannya selama ini berbaloi
Chef Wan menganggap anugerah Datuk sebagai satu peringatan bahawa segala pengorbanannya selama ini berbaloi
Chef Wan menganggap anugerah Datuk sebagai satu peringatan bahawa segala pengorbanannya selama ini berbaloi

GELARAN Datuk yang dianugerahkan kepada personaliti terkenal, Chef Wan sempena hari Wilayah Persekutuan hari ini, memang tepat pada waktunya dan sesuatu yang sudah lama overdue.

Malah, di kalangan artis dan kenalan selebriti Chef Wan sendiri, ada yang melahirkan rasa terkilan dan kekecewaan bila Chef Wan selalu menolak untuk menerima anugerah seumpama ini pada tahun-tahun sebelumnya.

"Wan terharu dan ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kerana sudi memberi anugerah yang tinggi ini pada Wan. Hanya Tuhan yang dapat membalas segala kebaikan.

"Sebenarnya, anugerah ini menjadi satu suntikan untuk Wan mencabar diri memberi yang terbaik, mempromosi Malaysia in a big way. Dan anugerah ini juga dapat mempermudahkan Wan melakukan sesuatu yang baik dan mendapatkan kerjasama dengan semua agar dapat meneruskan usaha Wan selama ini," jelas Chef Wan ketika dihubungi selepas raptai pengurniaan pingat kebesaran diraja semalam.

Bagi tukang masak terkenal ini, anugerah ini juga sebagai satu peringatan bahawa segala pengorbanannya selama ini berbaloi.

"Kalau Allah izinkan, macam mana sekali pun kita akan dapat apa yang kita hajati. Selama ini, memang Wan akui pernah ditawarkan anugerah Datuk dari empat buah negeri tapi Wan menolaknya dengan baik," kata Chef Wan jujur.

Menurut chef yang peramah dan baik hati ini, hanya satu saja alasan yang membuat dia menolak anugerah seperti ini pada masa-masa lepas. Dia hanya mahu dikenali dengan panggilan Chef Wan saja.

"Dalam hati saya hanya ingin menjadi 'Chef Wan'. Saya ingatkan biarlah orang ingat saya sebagai Chef Wan saja, itu sudah memadai kerana sebenarnya saya takut untuk wujudkan jurang antara peminat dan saya," kata selebriti berusia 52 tahun yang telah mengabadikan 25 tahun keringatnya untuk dunia masakan.

Seperkara yang membuat Chef Wan tidak mampu menolak lagi anugerah pada kali ini bila ibunya merayu agar menerimanya saja.

"Setelah saya memberitahu mak yang saya tidak mahu menerima gelaran 'Datuk', mak telah datang ke katil saya lepas subuh satu pagi, sambil merayu...'Wan, mak dah tua. Mak dah tengok dengan mata mak sendiri betapa susah Wan berkorban bertahun-tahun lamanya, promosi negara berhabisan, berpeluh-peluh, sakit-sakit dan berendam air mata. Mak nampak sendiri macam mana ada yang hendak jatuhkan Wan tapi semangat Wan kuat dan Tuhan sudah menentukan ni lah anugerah buat Wan atas segala pengorbanan dan kesabaran Wan di dunia ini. Mak tak nak bila mak mati nanti, mak rasa terkilan tak dapat tengok anak mak jadi Datuk. Tunaikanlah impian mak dan ayah, juga ribuan peminat Wan. Mari ambil surat tu dan sign sekarang, kalau tak mak tak nak pergi dari sini'," kata Chef Wan mengimbas kembali kata-kata ibu tercinta.

Selepas mendengar kata-kata nasihat dari ibu barulah Chef Wan rasa lebih bersemangat dan bersedia untuk menerima pingat kebesaran diraja yang membawa gelaran Datuk itu.

Chef Wan juga terpaksa akur rupa-rupanya Allah mahukannya mendapat anugerah itu walau bagaimana cara sekali pun.

"Lagipun, sesuatu kejayaan itu lebih bermakna bila kita langsung tidak mengharapkan apa-apa. Jadi bila kita dapat, kemanisannya lain sikit. Ini terbukti dengan kejayaan saya mendapat Fellowship Award dari Thames Valley University Of London, Anugerah dari Raja Majapahit dan The Best Celebrity Chef In The World di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009.

"Semua pengiktirafan ini terselit keindahan dan kemanisan memorinya tersendiri bila saya dapat satu demi satu pada fasa terakhir karier saya. Semua ini membuat saya rasa cukup bersyukur," kata ayah penyayang kepada aktres Serina dan Chef Riz ini.

Namun, jika ada kenalan yang sudah mesra menyapanya dengan Chef Wan, itu yang sebaik-baik baginya.

"Dalam hati, saya tetap Chef Wan. Lagi besar harapan yang diletakkan ke atas bahu saya, lagi kerdil saya rasa di sisi Tuhan. Tidak ada apa yang kekal di dunia ini waima gelaran sekali pun. Bila kita mati, kita hanya menghadap Tuhan dengan amalan kita. That has always been my reality check dan membuat Wan rasa rendah diri," jelas Chef Wan yang sedang giat menyiapkan manuskrip ensiklopedia masakan Melayu.

Chef tersohor ini juga bakal menubuhkan sebuah akademi masakan bertaraf dunia yang diberi nama 'C.A.C.A' (Chef Wans Asian Culinary Academy) untuk pelajar-pelajar yang ingin belajar memasak. Beliau juga sudah pun menandatangani MOU dengan Taylors College Universiti dan kini di peringkat akhir menyiapkan modul khas pelbagai masakan Asia.

Akademi ini akan siap beroperasi di Taylors College School of Hospitality bertempat di Sunway Petaling Jaya pada pertengahan tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain