suria

Ammar Fobia Berlakon Lagi Gara-gara Produksi Tidak Profesional

TRANSISI seorang model bergelar pelakon adalah perkara lazim bagi dunia hiburan tidak kira tempatan mahupun luar negara. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang kecundang.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi pendatang baru Ammar Alfian Aziz, 22, yang mula melonjak nama menerusi drama bersiri popular Tari Tirana.

Impian aktor kelahiran Cardiff, Wales ini untuk mengembangkan bakat lakonannya ternyata mengundang mimpi ngeri dan perasaan fobia gara-gara kekusutan dalam sebuah produksi drama.

"Saya jadi fobia untuk berlakon lagi ekoran apa yang terjadi dalam produksi Radius One yang menerbitkan siri Tari Tirana. Bukan hendak memburuk-burukkan produksi itu tetapi segala kekusutan yang berlaku sepanjang penggambaran drama ini benar-benar melampau.

"Bayangkan saya terpaksa komited kepada projek 26 episod itu selama tujuh bulan. Jika saya hendak bariskan satu persatu kekusutan itu, memang tidak guna sebab perkara telah pun berlaku. Watak saya sebagai Neo pun telah tamat penggambarannya. Itu pun setelah saya 'bertikam lidah', barulah mereka tergesa-gesa habiskan watak saya.

"Sebagai pelakon baru saya cukup komited dengan masa dan jadual penggambaran drama itu, tapi kekusutan dalam produksi itu sama sekali tidak saya jangka, memandangkan produksi itu terkenal menerusi beberapa drama bersiri yang popular sebelum ini seperti Sindarela dan Merah Putih.

"Apabila terlibat dengan mereka untuk Tari Tirana, barulah saya alami sendiri sikap tidak profesional produksi ini dalam menguruskan proses penggambaran.

Mengulas mengenai cerita kononnya Ammar 'bermulut tempayan' dan mendedahkan keburukan produksi itu, Ammar bertegas bahawa dia bukan sengaja membuat cerita. Malah katanya, setiap kekusutan yang berlaku sepanjang penggambaran drama itu benar-benar berlaku.

"Sebagai pendatang baru tak mungkin saya berfikiran sebegitu singkat untuk mereka-reka cerita jika kekusutan dalam produksi itu tidak berlaku.

"Saya berani luahkan perkara ini pun kerana saya berada di pihak yang benar. Bukan hendak panjang-panjangkan cerita yang sudah lepas. Cuma, terus-terang saya katakan, sekiranya saya dapat tawaran berlakon dengan produksi tersebut selepas ini, rasanya tak mungkin saya akan terima tawaran itu.

"Malah, saya juga pernah suarakan hal ini kepada penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom. Saya bukan marah dengan penerbit, saya kecewa dengan sikap tidak profesional tenaga produksi drama itu.

"Bukannya saya angkuh atau sombong, tapi cukup-cukuplah dengan apa yang telah saya lalui dengan mereka.

"Mungkin pelakon lain boleh bersabar dan berkompromi dengan produksi itu, tapi saya memang tidak boleh bersabar.

"Pada saya, apa yang berlaku, biarlah jadi pengalaman agar saya lebih berhati-hati di masa mendatang," katanya yang mengakui tidak mendapat bayaran setimpal untuk segala penat-lelah dan komitmen selama tujuh bulan terlibat dalam Tari Tirana.

Ditanya adakah pengalaman 'hitam' bersama Radius One membuatkan dirinya jauh hati untuk berlakon lagi, Ammar mengakui, dia lebih berhati-hati dan selektif dalam menerima tawaran daripada mana-mana produksi yang menemuinya.

Pada Ammar, dia lebih senang jika terlibat dengan projek telefilem yang hanya memakan masa beberapa hari saja berbanding dengan komitmen yang panjang untuk sesebuah pembikinan drama bersiri.

"Kini, saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih watak dan produksi yang memberi tawaran lakonan.

"Bukan serik atau tidak mahu berlakon langsung cuma saya jadi fobia setelah apa yang berlaku," katanya. Tambahnya, dia ingin kembali aktif dalam dunia modeling yang pernah dipinggirkannya seketika sebelum ini kerana ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan.

"Saya dapat tawaran kontrak selama setahun untuk buat modeling di New York. Kontrak tersebut akan tamat pada Mac 2011.

"Memandangkan ini peluang yang sangat baik untuk saya terus mengembangkan nama dalam bidang modeling, saya sedang mempertimbangkan pro dan cons sebelum terbang ke sana.

"Sekiranya selepas saya tamat berlakon telefilem Ceritera nanti, tiada tawaran lakonan yang menyakinkan lagi, mungkin saya akan terus fokus pada bidang modeling semula," ujar Ammar yang bakal terlibat dengan penggambaran telefilem arahan Aziz M. Osman bermula Selasa ini.

Bercerita lanjut mengenai cabang peragaan yang diceburinya sejak berusia 16 tahun itu, Ammar mengakui pendapatan dan habuan daripada bidang itu memang memuaskan.

Selain tawaran kontrak ke New York bersama Ford Models, Ammar yang sinonim dengan produk pakaian dalam lelaki Renoma sejak 2007 berkata, dia juga ditawarkan oleh jenama antarabangsa itu untuk memperbaharui kontraknya sekitar bulan ini juga.

Artikel Lain