suria

Misha Sahut Cabaran 'Berjuang' Dengan Artis Baru

KEKUATAN pada lirik dan melodi lagu Cinta Adam Dan Hawa membuatkan Misha Omar dari awal lagi yakin lagu ciptaan Azmeer dan lirik oleh Allahyarham Loloq itu mampu mendapat peluang untuk mara ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) yang akan berlangsung pada 10 Januari depan.

Namun, meskipun merasakan demikian, penyanyi berusia 27 tahun ini tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi setelah melihat saingan sengit daripada lagu-lagu lain yang bertanding di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ini.

Malah, sewaktu pengumuman 14 buah lagu yang layak ke AJL24 dibuat kelmarin, dia sudah bersedia untuk menerima hakikat andai kata lagu yang pernah memenangi Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) Mei lalu tidak terpilih.

"Semasa pengacara sudah umumkan separuh daripada lagu-lagu yang layak ke AJL24, saya hanya pasrah saja.

"Namun begitu, saya masih merasakan lagu ini boleh layak kerana kekuatannya dan memandangkan lagu ini juga pernah mencipta sejarah di AIM16.

"Lagu Cinta Adam Dan Hawa ini sebenarnya membawa kita kembali ke fitrah asal manusia. Ia mempunyai maksud yang cukup mendalam. Melodinya juga sangat unik dan susah untuk dilagukan," kata Misha.

Selain Cinta Adam Dan Hawa, turut mara ke AJL24 ialah ialah Aurora nyanyian Estranged ciptaan serta lirik oleh kumpulan itu sendiri, Bengang (Akim/Amir/Sheikh Qalam), Aku Skandal (Hujan/Noh), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/Ajai/Habsah Hassan), Masih Jelas (Hafiz/Aidit Alfian/Ad Samad), Pakai Buang (Stacy/Edry) dan Kau Aku (Aizat).

AJL24 yang akan bertanding tanpa kategori ini juga bakal menyaksikan saingan daripada lagu Bencinta nyanyian Shila OIAM menggantikan penyanyi asalnya Faizal Tahir ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri, Aku Rindu Sayang Kamu (Black/Yuzai), Dan Sebenarnya (Yuna/Yuna, Paan, Efry dan Aidil), Situasi (Bunkface/Sam), Pergi (Aizat/Pete Teo/Amran Omar) dan Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta).

Empat belas buah lagu yang terpilih itu dibuat berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada pusingan separuh akhir yang berlangsung di dalam tiga peringkat dan dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan.

Barisan juri profesional yang terlibat ialah Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiah Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan yang bertindak selaku ketua juri.

Ditanya tentang persembahan bersahajanya pada separuh akhir pusingan ketiga malam itu, kata Misha, gaya persembahan itu ditonjolkannya bukan disebabkan dirinya 'confident' akan mara ke peringkat akhir.

Namun, dari awal lagi, penyanyi ini sudah merancang untuk menampilkan persembahan yang 'selamba' sebagai kelainan.

"Saya tidak berasa tertekan. Saya menyanyi dalam cara yang 'menyamankan'. Bukan kerana 'confident' untuk mara, tetapi saya sengaja tampilkan persembahan seperti itu.

"Apapun, dapat beraksi di AJL24 nanti adalah satu tanggungjawab besar buat saya. Saya ingin tonjolkan sesuatu yang dapat meninggalkan lebih impak terhadap lagu ini," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.

Melihat kepada barisan penyanyi yang akan berentap pada malam kemuncak itu nanti, Misha dilihat adalah artis yang paling senior berbanding penyanyi-penyanyi lain yang rata-ratanya masih 'hijau' di dalam industri ini.

Namun begitu, kata Misha, dia tidak merasakan itu salah masalah besar buat dirinya. Malah, dia akui berasa gembira kerana dapat berada 'seiring' dengan muka-muka baru tersebut.

"Bagi saya, tidak perlu rasa gentar kerana saya percaya, diri kita tetap ada 'sesuatu' walaupun kita mungkin orang lama.

"Dan sejujurnya, saya bangga kerana di 'celah-celah' orang muda ini, saya turut terselit di antara mereka," ujarnya.

Menurut Misha lagi, walaupun kebanyakan lagu-lagu yang bertanding itu menampilkan genre baru dan segar, dia tetap yakin konsep pop balada masih boleh diterima ramai.

"Sebagai penyanyi yang memperjuangkan genre ini, saya kena ada jati diri yang kuat. Tetapi saya tidak nafikan, saya juga ada tampilkan peralihan dalam konsep balada yang saya bawa.

"Apa yang pasti, konsep balada yang saya bawakan kini tidak seperti yang pernah saya tonjolkan dulu," katanya lagi.

Artikel Lain