suria

Emma bercerai untuk kali ketiga

Emma ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Emma ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Emma ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR: Perkahwinan secara senyap bekas suaminya dengan gadis Surabaya, Indonesia membuat dramatis Emma Akma Yunus nekad untuk bercerai buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Hari ini, Kamal telah melafazkan cerai talak satu di hadapan hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Penceraian Mohd Kamal-Emma dibuat di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Syariah Negeri Selangor 2003.

Peguam Emma, Abdullah Anuar Sahri memberitahu mahkamah membenarkan perceraian atas alasan Emma-Kamal sudah tidak tinggal bersama selama 11 bulan dan kerana 'siqah' (perbalahan yang berterusan).

Sebelum ini, pasangan ini telah bercerai sebanyak dua kali tetapi setiap kali mereka akan rujuk kembali selepas pujuk rayu bekas suami Mohd Kamal Jaafar Sidek, 35.

Tahun lalu, Emma terpalit dengan kontroversi apabila media melaporkan hidungnya cedera akibat ditumbuk oleh bekas suaminya Mohd Kamal. Akibat laporan media itu, Emma dilarang memberitahu familinya yang mereka telah rujuk kembali.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Emma memberitahu dia memutuskan untuk berpisah selama-lamanya dengan bekas suaminya demi kebaikan bersama.

"Ini yang terbaik... (sambil teresak-esak) Bila tahun lalu kami cerai dan kemudiannya rujuk kembali, kami tak beritahu sesiapa pun. Saya terpaksa berbohong kepada media atas permintaannya.

"Atas sebab peribadi, saya terpaksa merahsiakan kisah saya rujuk semula itu daripada familinya atas permintaan dia juga walaupun kasih sayang masih wujud.

"Saya telah memberi peluang kepadanya sebanyak dua kali dengan harapan dia tidak akan buat saya lagi macam ini.

"Dalam tempoh 11 bulan kami tidak tinggal bersama, macam-macam saya lalui. Saya fikir sampai bila....oleh itu saya buat keputusan dan berbincang dengannya untuk berpisah.

"Dah banyak kali dia pujuk saya minta jangan bercerai kali ketiga sebab talak ketiga. Tetapi sampai bila sedangkan saya juga yang makan hati," kata Emma dalam esakan.

Pasangan Emma-Mohd Kamal berkahwin pada 1 Januari 2005 dan mereka mempunyai seorang anak angkat Dayang Izzati Kamal, 4 yang kini tinggal bersama dengan Mohd Kamal.

Mereka bercerai kali pertama pada 29 Oktober 2008 dan kali kedua pada 23 Mac 2009. Pasangan ini rujuk buat pertama kali pada Nov 2008 dan kali kedua pada akhir bulan Mac 2009.

Walaupun sudah rujuk kembali buat kali kedua, Emma dan Kamal tidak tinggal bersama.

Dalam pada itu, Emma memberitahu, dia memilih tarikh hari ini iaitu 29 Oktober ini untuk penceraian kali ketiganya dengan Mohd Kamal bagi melengkapi genap setahun dia bercerai kali pertama dengan bekas suaminya.

"Sudah genap setahun, famili dia tak tahu, orang tak tahu.. Saya pilih tarikh ini sebab cukuplah.. dah tak ada ruang atau tempat untuk dia di sanubari saya.

"Siapa-siapa pun tak nak diperlakukan macam 'perempuan simpanan'," jelas Emma dengan linangan air mata bercucuran dari matanya.

Ditanya kenapa bekas suaminya melarang dia memberitahu rujuk semula itu, Emma menjelaskan: "Dia kata famili dia tak suka saya, benci saya pasal laporan media kes pukul tahun lepas."

"Dia kata saya telah mengaibkan familinya. Kalau orang biasa, media tak nak ambil tahu. Mungkin kerjaya saya membuatkan saya mendapat liputan media. Sekurang-kurangnya saya boleh meminta maaf kerana berbohong mengatakan saya single pada masa itu. Saya terpaksa berbuat begitu kerana kehendak dia.

"Sebab paling utama saya meminta maaf kerana famili dia tak tahu kami telah merujuk kembali dan kedua, dia sendiri telah berkahwin dengan orang lain. Jadi kenapa saya nak seksa diri saya lagi," katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Emma memberitahu dia tidak mendapat apa-apa tawaran berlakon sejak bulan puasa lalu. Selain itu, katanya, dia ingin berehat selepas melalui episod pahit ini dalam dirinya.

"Terlalu banyak perkara berlaku dalam setahun ini. Ada yang memberitahu saya semakin kurus. Saya nak berehat selepas ini," katanya yang bersyukur kerana orang lain tidak akan menyimpan persepsi negatif terhadap dirinya lagi.

Emma berpendapat, penceraiannya hari ini tidak akan berlaku sekiranya bekas suaminya itu tahu mengutamakan isterinya.

"Malah dia tahu kes tahun lepas pun bukan salah saya. Lepas kes cerai, dia minta maaf, menangis, peluk saya. Saya tahu bukan niat dia nak pukul saya...," katanya yang berlakon dalam drama 'Kepadamu Kekasih' yang disiarkan di TV9 setiap Sabtu, jam 8.30 malam.

Emma juga turut tampil dalam iklan-iklan di kaca televisyen seperti iklan pati haruan Poleney, Marina Nugget, Nestle, Celcom, DiGi dan Tahun Melawat Singapura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain