suria

Julfekar perit nak maafkan Farawahida

Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.
Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.
Saat bahagia Julfekar (duduk dua dari kanan) dan Farawahida (berdiri dua dari kanan) ketika memenangi kategori Etnik Kreatif menerusi lagu 'Persoalan Cinta' dalam Anugerah Juara Lagu ke-23.

PADA bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, pemilik MillenniumArt Sdn. Bhd., Julfekar pernah terfikir untuk berhati lembut sekali gus memaafkan bekas artisnya Farawahida Razali.

"Bagaimanapun hati saya terlalu sakit, terlalu perit untuk saya maafkannya. Saya selalu berdoa dari Februari 2009 hingga kini agar dia disedarkan. Agar Allah membuka pintu hatinya. Mungkin dia terlalu keras hati, ego... saya tak pasti puncanya," kata Julfekar ketika dihubungi baru-baru ini.

Farawahida difahamkan melanggar kontrak dan meletak jawatan serta-merta sebagai artis MillenniumArt pada 9 Februari 2009.

Pada 27 Ogos lalu, Julfekar memfailkan saman tuntutan ganti rugi terhadap Farawahida.

Sebelum itu, ketegangan antara mereka dilihat semakin besar apabila Fara membuat pendedahan satu demi satu tentang 'kesengsaraan' yang dialaminya selama berada di bawah jagaan Julfekar.

Antaranya, Fara akui pernah dimaki dan dikasari Julfekar dan dia mempunyai alasan sendiri untuk keluar dari berada di bawah naungan syarikat itu. Isu Fara dan Julfekar tidak terhenti di situ apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan balas.

Julfekar antara lain mengaku dia dan Fara menjalinkan hubungan cinta dan penyanyi itu sendiri pernah mendesaknya untuk berkahwin. Namun, Fara pula menepis kenyataan komposer itu dan menegaskan hubungan mereka hanyalah atas dasar profesional.

Pergolakan antara mereka sampai ke kemuncaknya apabila Fara membuat empat laporan polis mendakwa Julfekar mengugutnya dan turut membuat ugutan bunuh.

Laporan terbaru yang dibuat oleh Fara adalah pada 1 Julai lalu di IPD Petaling Jaya mendakwa Julfekar mengugut pula untuk mengedar gambar dan video lucahnya.

Kes tersebut masih berada di dalam siasatan polis dan tatkala Julfekar mendakwa Fara sengaja menabur fitnah, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu pula terus mengambil keputusan untuk 'menghilangkan' diri.

Menurut Julfekar, dia sudah mendengar terlalu banyak sebab yang diberikan oleh Farawahida menerusi media.

"Dalam kebanyakan sebab tersebut, banyak yang tak betul. Mana satu yang betul? Sebagai manusia, kita tidak sedar kita telah melakukan kesilapan.

"Apa-apa pun, saya telah menjaganya (Farawahida) dengan baik, membuat promosi sehingga dia menerima pelbagai anugerah," kata Julfekar.

Antara anugerah-anugerah yang diterima Farawahida sepanjang bernaung di bawah MillenniumArt termasuk Anugerah Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular - Berita Harian (ABPBH) 2007 dan Juara Etnik Kreatif Anugerah Juara Lagu (AJL) 23.

Dalam tempoh lima tahun tersebut, Farawahida mempunyai empat album audio iaitu Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini dan Farawahida 2009 dan dua VCD karaoke.

Julfekar tidak menolak andaian dia mungkin terlalu tegas dalam soal kerja sehingga menyinggung perasaan Farawahida.

"Saya memang tegas dalam aspek kerja. Kalau itulah sebabnya, ia sepatutnya bukan satu masalah besar kerana dia tidak pernah memberitahu saya apa-apa.

Mengenai saman yang difailkan syarikatnya terhadap Farawahida pada 9 Februari lalu, Julfekar berkata, dia tidak berdendam tetapi hanya mempertahankan hak-haknya sebagai pemilik MillenniumArt atau pengurus artis itu.

"Saya telah banyak kerugian akibat pelanggaran kontrak dan penamatan perjanjian tersebut. Kenapa tidak ada langsung penghargaan terhadap segala pengorbanan saya selama ini?" soal Julfekar.

Julfekar dilaporkan telah melakukan pengorbanan besar dari segi kewangan, masa, promosi malah memberikan perbelanjaan sara hidup kepada Farawahida.

Sementara itu, Julfekar mungkin memfailkan saman terhadap Farawahida kerana membuat beberapa persembahan tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan.

Menurutnya, Farawahida telah melanggar langgar kontrak kerana membuat persembahan sendiri.

"Jika diikutkan kontrak, dia sepatutnya menyumbangkan hasil persembahan sebanyak 30 peratus kepada pihak pengurusan MillenniumArt. Kalau dari segi Islam, ini sudah dikira makan duit haram jika dia gagal berbuat demikian.

"Jadi tak akan dia nak makan duit haram?" soal Julfekar lagi.

Walaupun artisnya Farawahida telah mengundang pelbagai kontroversi untuk dirinya, Julfekar tidak serik untuk melatih dan membangunkan 15 artis-artis baru yang berbakat besar.

Antaranya, katanya, Akashia (Gangstarz), Jessica & Fiona (MyStar LG) serta tujuh finalis Bintang Idola, Anugerah Bintang Popular.

"Bulan depan, kami telah merancang 'Konsert Tour Jelajah Sabah' yang melibatkan mereka," katanya.

Artikel Lain