suria

Kes Memey-Norman: Hakim Syarie tarik diri kerana spekulasi media

Norman dan Memey selepas keluar dari dewan perbicaraan. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Norman dan Memey selepas keluar dari dewan perbicaraan. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Norman dan Memey selepas keluar dari dewan perbicaraan. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes khalwat pelakon popular, Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini telah ditangguhkan hingga tarikh 15 Mei depan setelah Hakim Syarie, Wan Mahyuddin menarik diri daripada membicarakan kes ini.

Tindakan tersebut adalah atas arahan Ketua Hakim Syariah Selangor disebabkan banyak spekulasi yang telah dikeluarkan oleh pihak media sebelum ini.

Justeru, Ketua Hakim Syariah Selangor akan melantik Hakim Syarie lain untuk menghakimi kes tersebut selepas ini.

Wan Mahyuddin menyebut: "Pelbagai pihak telah membuat spekulasi, memberikan pendapat masing-masing dan membicarakan kes ini secara terbuka di media cetak dan media elektronik.

"Kes ini sepatutnya diadili oleh mahkamah syariah. Pihak yang bercakap secara terbuka menimbul subjudis dan meminda proses mahkamah syariah.

"Jadi, semua pihak perlu hormati dan patuhi kod etika kerja masing-masing supaya mahkamah dapat membicarakan kes ini sebaik mungkin tanpa gangguan mana-mana pihak.

"Jika ada pihak yang melanggar arahan boleh dianggap menghina mahkamah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 210 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003."

Dalam pada itu, Norman dan Memey ketika di luar mahkamah enggan memberikan sebarang komen mengenai perbicaraan kes hari ini.

"Kes ini merupakan urusan mahkamah. Saya fikir lebih baik kami tidak memberikan sebarang komen kerana ia agak sensitif," ulas Norman ringkas.

Memey dan Norman diwakili oleh peguam syarie yang sama iaitu, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Fakhrul juga tidak dibenarkan memberikan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Pertuduhan terhadap Norman-Memey difailkan pada bulan Januari, tahun ini.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain