suria

Manifestasi anak seni pada Malam Amal Rayuan Atas Nama Kemanusiaan

Persembahan mantap, Datuk Siti Nurhaliza ketika menyampaikan lagu 'Suara Sepi' sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Foto The Star Oleh:KAMARUL ARIFFIN DAN EHFAN SHAH.
Persembahan mantap, Datuk Siti Nurhaliza ketika menyampaikan lagu 'Suara Sepi' sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Foto The Star Oleh:KAMARUL ARIFFIN DAN EHFAN SHAH.
Persembahan mantap, Datuk Siti Nurhaliza ketika menyampaikan lagu 'Suara Sepi' sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Foto The Star Oleh:KAMARUL ARIFFIN DAN EHFAN SHAH.

IBARAT menjadi satu kemestian setiap kali berlangsungnya program amal, pasti disertai dengan konsert dan persembahan artis-artis terkemuka tanah air.

Namun itulah satu sumbangan yang dilakukan oleh golongan seni pada malam Rayuan Amal Atas Nama Kemanusiaan di Istana Budaya, Sabtu lalu.

Majlis tersebut juga merupakan satu bentuk manifestasi bagi meringankan beban golongan masyarakat Palestin yang sedang berperang menentang kekejaman regim Zionis.

Majlis yang dihadiri ramai golongan kenamaan, termasuklah Yang di-Pertuan Agong itu merupakan satu majlis yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tirai persembahan dibuka dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi tesohor, Datuk Siti Nurhaliza, memang istimewa sekali ketika meyampaikan lagu ‘Suara Sepi’.

Memang tidak perlu dipertikaikan lagi, persembahan Datuk Siti ketika mendendangkan lagu yang dicipta khas oleh Johari Teh dan lirik yang ditulis oleh Habsah Hassan ini nyata berjaya menyentuh hati hadirin yang berada dalam dewan tersebut.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, persembahan diteruskan dengan nyanyian lagu bertajuk ‘Ziarah ‘oleh Papa Rock, Ramli Sarip.

Penyanyi bersuara serak basah yang berasal dari Singapura ini nyata berjaya menghidupkan suasana sedih dihati hadirin pada malam itu.

Dengan gaya tersendiri yang tidak perlu diperkatakan lagi, juara Malaysian Idol musim pertama Jaclyn Victor tampil membuat persembahan seterusnya.

Dengan menyampaikan lagu bertajuk ‘Imagine’ nyata persembahan Jac tidak perlu dipertikaikan lagi dengan vokalnya yang sememangnya bagus sekali.

Pengacara pada majlis tersebut, Mahadzir Lokman juga sememangnya berjaya menghidupkan suasana majlis yang bersifat formal pada malam itu.

Dengan gaya tersendiri personaliti yang pandai fasih bercakap tujuh bahasa ini mampu mengendalikan majlis tersebut berseorangan tanpa cacat celanya dan memang pujian wajar diberikan kepadanya.

Kumpulan nasyid terkenal Raihan turut tidak ketinggalan membuat persembahan menarik pada malam itu dengan menyampaikan lagu ‘Untukmu Palestin’.

Namun disebalik persembahan artis-artis terkemuka tanah air persembahan koir oleh kumpulan Dithyrambic ketika menyampaikan lagu ’Tanahair Yang Jauh’ betul-betul menyentuh perasaan tetamu yang hadir dalam Panggung Sari, Istana Budaya.

Biarpun menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantara dalam persembahan mereka namun semangat dan gaya persembahan yang ditunjukkan nyata hidup dan membuatkan penonton bersorak sebaik persembahan mereka tamat.

Selayaknya persembahan mereka diberi 'markah' tertinggi pada malam tersebut kerana biarpun membuat persembahan dalam bahasa ibunda mereka, namun dari segi gaya berpakaian mereka masih beridentitikan Malaysia iaitu pakaian songket tersarung ditubuh mereka.

Juara Akademi Nasyid yang juga finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini, Aiman turut tidak ketinggalan membuat persembahan dengan menyampaikan lagu ’Dusta Berkalang’.

Nyata Aiman bijak membuat pemilihan pakaian yang sesuai apabila kali ini dia tidak lagi tampil sarat seperti dalam AJL yang lalu.

Biarpun vokalnya biasa namun dia wajar diberikan pujian kerana sebagai bakat baru Aiman masih lagi mampu bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang lebih senior daripadanya dalam industri hiburan tanahair.

Seterusnya persembahan nyanyian diteruskan oleh penyanyi yang agak lama menyepikan diri lewat kebelakangan ini, Misha Omar, tampil jelita dalam persalinan berwarna hitam putih yang sesuai dengan lagu yang dinyanyikannya.

Ternyata vokal Misha masih sama dan tidak perlu dipertikaikan lagi ketika mengalunkan lagu Sheila Majid, Hitam Putih Kehidupan.

Baru sahaja pulang dari berbulan madu, penyanyi popular Mawi turut serta menjayakan konsert amal itu.

Raja SMS ini menyampaikan lagu terbarunya, Allah Habibi dengan diiringi kumpulan Aristana sebagai penyanyi latarnya.

Majlis yang berlangsung hampir 2 jam itu diakhiri dengan persembahan monodrama yang meruntun perasaan lakonan Umie Aida dan Sharonizam Noor.

Persembahan yang dipimpin oleh pengarah berkaliber, Erma Fatima ini memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia berjaya membawa jiwa penonton menghayati dan menyelami perasaan rakyat Palestin yang menderita akibat kematian dan kehilangan orang tersayang.

Acara kemuncak pada malam berkenaan adalah penyampaian sumbangan kepada Dana Atas Nama Kemanusiaan yang berjaya mengumpul RM10.7 juta hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat dan dermawan di negara ini.

Wang tersebut akan disalurkan kepada Wisma Putra untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin.

Apa yang dapat disimpulkan rata-rata persembahan artis pada malam konsert Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan wajar diberi pujian kerana semua penyanyi menyampaikan lagu-lagu mereka dengan penuh penghayatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain