suria

Doa Buatmu Palestin: Baju 'pink' Siti dapat perhatian Zarina

Datuk Siti melelong blaus berwarna pink yang pernah dipakainya ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 1999 dan dibida oleh Zarina Zainuddin pada harga RM420. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Datuk Siti melelong blaus berwarna pink yang pernah dipakainya ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 1999 dan dibida oleh Zarina Zainuddin pada harga RM420. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Datuk Siti melelong blaus berwarna pink yang pernah dipakainya ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 1999 dan dibida oleh Zarina Zainuddin pada harga RM420. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

BILA golongan artis beramal....suasananya tentu mendapat perhatian. Itulah yang dapat diperkatakan mengenai program ‘Doa Buatmu Palestin’ yang dianjurkan oleh Yayasan Karya Seni Prihatin dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Ramai artis popular tidak ketinggalan untuk hadir dan memberikan sokongan kepada acara yang dijalankan di Istana Budaya selama dua bermula semalam dan akan berakhir malam ini. Pelbagai program menarik telah disusun oleh pihak penganjur sepangjang berlangsungnya acara ini termasuklah persembahan artis yang dibuat dari semasa ke semasa, jualan lelong pakaian artis dan pereka fesyen terkenal tempatan, gerai-gerai jualan pelbagai barangan dan makanan.

Acara kemuncaknya ialah majlis solat hajat berjemaah dan bacaan Yassin yang diadakan pada sebelah malam.

Lebih istimewa, Imam Masjid Wilayah Persekutuan turut mengimamkan solat hajat dan bacaan Yassin secara berjemaah itu nanti.

Program yang berlangsung selama dua hari ini antara lain adalah satu bentuk manifestasi dan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Menurut penganjur, pelakon Erma Fatima, dia telah mendapat maklum balas dan kerjasama yang sangat baik daripada golongan artis ketika mula-mula hendak menganjur program terbabit.

"Alhamdulillah maklum balas yang diberikan oleh golongan artis amat baik, tak sampai seminggu selepas saya ajak mereka untuk turut serta dalam program ini ramai dah beri persetujuan mereka.

"Bagi saya ini sumbangan yang dapat diberikan oleh golongan artis kepada masyarakat yang memerlukan seperti di Palestin. Ini satu peluang untuk artis beramal sambil menderma. Malah bukan sahaja artis yang terlibat tapi orang ramai juga dapat beramah-mesra dengan artis kesayangan mereka," katanya Erma yang juga Pengerusi Yayasan Karya Seni Prihatin.

Jelas Erma lagi, hampir 110 gerai jualan dibuka oleh artis dan orang awam di mana sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh akan didermakan kepada tabung Palestin.

"Ada macam-macam gerai jualan di sini ada gerai makanan, ada yang jual baju-T, tudung, baju, jual CD lagu-lagu artis dan macam-macam lagi. Syarikat Telekomunikasi terkemuka Celcom juga tidak ketinggalan membuka gerai jualan dan mereka mendermakan secara keseluruhan jualan yang diterima kepada tabung Palestin," ujar kakak kepada Umie Aida ini.

Antara artis yang turut membuka gerai jualan di tapak karnival adalah, Datuk Siti Nurhaliza, Julia Ziegler, Dynas, Rebecca, Fazley, Sazzy Falak dan suaminya Nazril, Zarina Zainuddin dan Anjang Aki.

Namun dalam banyak-banyak acara yang dinajurkan segmen lelong baju artis paling mendapat perhatian orang ramai yang berkunjung ke tapak karnival tersebut.

Acara lelongan baju artis dibuat dua sesi iaitu di sebelah pagi dan petang, di sebelah pagi baju aktres jelita Umie Aida dan sahabat baiknya, Zahida Rafik dilelong dengan harga yang istimewa.

Harga yang diletakkan sangat murah dan berpatutan, di mana blouse kepunyaan Umie Aida dilelong pada harga serendah RM60 manakala gaun milik aktres Zahida Rafik yang direka oleh pereka terkenal Michael Ong dijual dengan harga RM70.

Ramai pereka fesyen ternama seperti, Rizalman Ibrahim, Rizman Ruzaini, Bill Keith, Michael Ong, Jarum Mas, Izral (Butik Citra), Syaiful Bahrim, Kelvin Thoo, Ikan Fancy Radzwan Radzwill, Zang Toi dan banyak lagi turut menyumbangkan baju yang belum dipakai sempena karnival ini.

Bagi baju pereka fesyen ini kebanyakannya dilelong pada harga RM599 dan ke atas bergantung kepada kualiti dan jenis kain yang digunakan.

Sememangnya acara lelongan amal baju kepunyaan artis menarik minat pengunjung yang hadir. Turut tidak ketinggalan membeli baju lelong tersebut adalah pengacara dan pelakon Sazzy Falak yang membeli dress labuh berwarna hitam rekaan pereka terkenal Syamsul Bahrin dengan harga RM300.

Nyata majlis yang diacarakan oleh pengacara Hairuddin Mohd Noh (MHI) dan Azwan Ali tidak membosankan pengunjung dengan celoteh mereka yang bersahaja.

Biarpun hujan turun di sebelah petang, ia tidak menghalang pengunjung untuk membanjiri tapak karnival di Istana Budaya, lebih-lebih lagi dengan kemunculan istimewa penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Rata-rata peminat penyanyi bersuara lunak bak buluh perindu ini tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan mendapatkan tanda tangan Siti dengan setiap pembelian album terbarunya, Lentera Timur.

Acara lelongan yang berlangsung di sebelah petang amat ditunggu-tunggu oleh pengunjung di tapak karnival kerana masing-masing menunggu baju yang akan dilelong oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Dua baju yang dilelong oleh Datuk Siti sendiri bersama beberapa selebriti popular seperti Linda Onn, Ifa Raziah dan Azwan yang bertindak sebagai pengacara terus gamat dengan aksi-aksi spontan ketika acara lelongan amal tersebut berlangsung.

Baju yang dilelong oleh Datuk Siti dilelong pada harga RM150 bagi blouse berwarna pink yang pernah dipakainya ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 1999.

Setelah puas dibida, baju yang pernah disarungkan oleh penyanyi popular itu dibeli oleh pelakon Zarina Zainuddin pada harga RM420.

Satu lagi baju Datuk Siti berupa sehelai jaket kulit berwarna hitam yang pernah dipakai penyanyi tersohor itu di ketika berada di Shanghai, China dibeli oleh seorang peminat Datuk Siti dengan harga RM500.

Dari apa yang dilihat, majlis sebegini mampu menarik perhatian orang ramai yang berkunjung untuk turut sama beramal bersama golongan artis.

Bagi orang ramai yang ingin beramah-mesra dengan artis kesayangan mereka sambil menderma boleh berkunjung ke tapak kanival Doa Buatmu Palestin di perkarangan Istana Budaya yang dibuka pada hari ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Antara artis yang akan membuat persembahan pada malam penutup karnival tersebut adalah Jamal Abdillah, Papa Rock Ramli Sarip, Ning Baizura, Noryn Aziz, Salamiah Hassan, Siti Sarah, Meet Uncle Hussien, Ferhad, Rabbani, Raihan, Dafi, Ezlynn, Diana Danielle, Kopratasa, Awang BPR, Aishah, Zubir dan Harmoni, Maya Karin dan ramai lagi.

Komen artis:

Datuk Aziz Sattar

"Bagi saya golongan artis atau tidak, mereka tetap manusia biasa. Jadi dengan menyertai porgram sebegini ia merupakan satu manifestasi seni membantah kekejaman tentera Zionis yang tidak berperikemanusiaan itu."

Anjang Aki

"Saya buka gerai jual jus dan setiap 5% daripada hasil jualan saya akan sumbangkan kepada tabung Palestin untuk membantu mereka yang menderita akibat perang di sana. Ini adalah sumbangan yang mampu diberikan kerana kami tak mampu pergi berperang di sana melawan regim Zionis."

Dynas

"Pada saya program sebegini sangat bagus untuk diadakan kerana artis juga punya ruang untuk beramal dan membantu golongan yang tidak bernasib baik terutamanya masyarakat yang menderita di Palestin ketika ini."

Dr. Fazley

"Saya merasa terpanggil untuk menyertai program ini kerana inilah salah satu cara kita nak membantu golongan yang tidak bernasib baik terutamanya mereka yang di Palestin. Bila, Kak Erma ajak saya terus bersetuju, bagi saya ini merupakan salah satu sumbangan kami sebagai golongan artis kepada masyarakat."

Artikel Sebelum

Wajah 'tua' Brad Pitt menjadi!

Artikel Lain