suria

Anita Sarawak lelong baju pada harga RM4,000 untuk Gaza

Azrul Raja Lawak (dua dari kanan) memegang baju biru Anita Sarawak yang dilelong pada harga RM4,000 yang dibeli oleh Chef Wan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Azrul Raja Lawak (dua dari kanan) memegang baju biru Anita Sarawak yang dilelong pada harga RM4,000 yang dibeli oleh Chef Wan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Azrul Raja Lawak (dua dari kanan) memegang baju biru Anita Sarawak yang dilelong pada harga RM4,000 yang dibeli oleh Chef Wan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

[SEMASA] PETALING JAYA: Penyanyi Anita Sarawak berjaya melelong baju koleksinya sebanyak RM4,000 di Amcorp Mall untuk disalurkan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Baju tersebut dibeli oleh selebriti Chef Wan setelah beliau meletakkan harga tersebut.

Menurut Chef Wan, beliau sanggup meletakkan harga yang tinggi itu kerana niat yang ikhlas untuk Gaza.

Sementara itu, penyampai radio Hot FM Fara Fauzana turut membeli baju Anita Sarawak yang dilelong pada harga RM800.

Selain itu, Anita berkata beliau berjaya menjual lebih 20 pasang pakaiannya, kasut termasuk beberapa pakaian milik suaminya, Mahathir Abdullah dengan mengumpul hampir RM8,000.

“Alhamdulillah, saya berbangga kerana dapat menjayakan lelongan dan jualan amal ini. Jadi, terima kasih juga saya ucapkan kepada semua artis, penaja seperti pihak hotel dan lain-lain yang terlibat dan bertungkus-lumus dalam aktiviti ini.

“Saya juga kagum dengan semangat semua rakyat Malaysia yang turut sudi menghulurkan bantuan dan menjayakan aktiviti ini,” kata Anita ketika lelongan dan jualan amal untuk dana Gaza, di sini, semalam.

Aktiviti yang berlangsung mulai pukul 11 pagi hingga 6 petang itu turut melibatkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Aizat, Mawi, Faizal Tahir, Aznil Haji Nawawi, Nabil, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, Diana Danielle, Chef Wan, Sharifah Amani, Sharifah Aleya dan ramai lagi.

Ramai orang yang tidak putus-putus hadir ke acara tersebut bukan sahaja untuk membeli barangan yang dijual malah turut tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan artis kesayangan mereka.

Menurut Anita, terdapat beberapa baju yang dijual belum pun dipakai olehnya namun untuk kebaikan rakyat Palestin, beliau sanggup melakukannya

“Kebanyakan baju yang dijual, ada yang saya baru pakai sekali dan ada yang belum dipakai.

“Oleh sebab saya tidak tahu hendak buat apa dengan baju-baju yang dibeli ini, jadi saya rasa lebih bermakna untuk dijual.

“Sekurang-kurangnya ia mendatangkan faedah untuk kita membantu rakyat Palestin.

“Dengan kejadian di Gaza, ia bukan sahaja memberi kesan kepada saya malah semua orang turut terharu.

“Kutipan dana untuk Gaza bukan sahaja datang daripada hasil jualan malah terdapat juga di kalangan peminat saya yang datang bergambar turut menghulurkan derma,” cerita Anita sambil tersenyum puas.

Datuk Siti lelong jaket sebanyak RM900

Dalam pada itu, Datuk Siti Nurhaliza berjaya mengumpul sebanyak RM900 selepas menjual dua helai jaketnya.

Salah satunya adalah jaket jeans yang dilelong pada harga RM400 manakala jaket yang satu lagi dijual pada harga RM500 dalam masa setengah jam.

“Walaupun dua helai jaket itu merupakan antara koleksi pakaian yang saya sayang, tetapi saya sanggup menjualnya dengan tujuan untuk sedekah.

Menurut Siti, beliau berminat untuk melibatkan diri untuk aktiviti amal selepas ini di mana ianya bukan sahaja untuk Palestin malah untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Selain melelong barang dan memberikan bantuan kewangan lain, saya turut menjayakan Konsert Malam Amal Atas Nama Kemanusiaan di Istana Budaya pada malam ini untuk tabung Gaza.

“Jadi, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memberikan sumbangan. Pada esok, saya juga akan membuat lelongan amal Doa Untukmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang diasaskan oleh Kak Erma Fatima,” beritahunya yang turut menjual kek di dalam acara amal itu.

Aizat lelong gitar kesayangan

Sementara itu, penyanyi Lagu Kita iaitu Aizat berjaya mengumpul sebanyak RM320 untuk tabung Gaza dalam masa setengah jam.

Aizat melelong dua lencana WAR beserta sehelai jaket Top Man berharga RM50, kemeja Top Man (RM20), jaket Akademi Fantasia (RM50) dan gitar semi elektrik pertamanya (RM200).

Jelas penyanyi yang turut membuat persembahan nyanyian lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Fikirlah ini, beliau sanggup menjual gitar kesayangannya itu kerana beliau mempunyai sebuah lagi gitar seperti itu.

Artikel Sebelum

Wajah 'tua' Brad Pitt menjadi!

Artikel Lain