suria

Aznil sanggup dipergunakan untuk kerja amal

Aznil (dua dari kiri) bersama jaket hitam yang dilelongnya tempoh hari. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Aznil (dua dari kiri) bersama jaket hitam yang dilelongnya tempoh hari. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Aznil (dua dari kiri) bersama jaket hitam yang dilelongnya tempoh hari. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

GELARAN Haji Aznil Haji Nawawi semakin membuatkan hos, penyanyi dan penyampai radio itu ingin menempatkan diri beliau di kedudukan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Lantas, peluang tersebut digunakan untuk melakukan kerja amal apabila mempunyai masa yang senggang.

Lebih terharu, Aznil berkata, beliau sanggup dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk beliau melakukan kerja amal.

“Saya tak kisah kalau stesen televisyen lain nak gunakan saya untuk kerja amal.

“Untuk melakukan kerja ini, saya tak boleh ada sempadan. Sama ada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 mahupun konglomerat Media Prima, mereka boleh gunakan saya,” luah Aznil ketika terlibat dalam aktiviti lelongan dan jualan amal untuk tabung Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Di dalam aktiviti lelongan tersebut, Aznil melelong jaket yang beliau pakai ketika Anugerah Skrin tahun lepas di mana ketika itu beliau mendapat Anugerah Bual Bicara Terbaik.

“Diikutkan, orang lain boleh membeli jaket tersebut di Butik Zara.

“Tetapi jaket yang saya lelong ini agak istimewa sedikit kerana saya tampal berlian di kolarnya dengan sendiri dalam masa seminggu.

“Jadi, jaket itu begitu bermakna buat saya dan mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri.

“Melalui aktiviti sebegini, saya nampak kemeriahannya selain memikirkan ada orang yang lebih memerlukan duit ini.

“Dalam kemeriahan ini, diharap ia sedikit-sebanyak dapat melenyapkan kesedihan yang berlaku di Gaza selepas semua orang hadir menghulurkan bantuan,” beritahu Aznil sebelum melelong jaket tersebut.

Selepas lelongan dibuat, Aznil yang pada mulanya meletak harga RM220 semakin menaikkan harga kepada RM320 bilamana banyak permintaan daripada orang yang ingin membeli.

Akhirnya jaket tersebut dibeli oleh seorang kanak-kanak pada harga RM320. Ternyata telatah Aznil yang begitu mesra dengan orang itu berjaya menggamatkan suasana.

Kata pengacara Macam-Macam Aznil ini, walaupun beliau telah mengikat kontrak secara eksklusif selama 10 tahun mulai tahun 2007 dengan stesen TV berbayar Astro, bagi beliau tidak perlu ada sempadan untuk melakukan kerja amal sebegini.

“Selain melakukan lelongan dan memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan, selepas ini saya akan banyak melibatkan diri dalam melakukan kerja amal.

“Saya bersedia menawarkan diri untuk sama-sama terlibat dengan aktiviti berkaitan yang bukan sahaja untuk tabung Gaza tetapi untuk tabung amal lain seperti tabung Darfur,” ulasnya yang turut menjayakan Malam Puisi Demimu Palestin yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan, di perkarangan Istana Budaya, sebelum ini.

Selain itu, Aznil turut bergelar Duta Penyayang di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di mana ketika itu dinaungi oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Jelas Aznil yang telah melibatkan diri di dalam kerja amal sejak 19 tahun lalu, beliau banyak berubah dan melihat pelbagai perkara dalam dimensi berbeza selepas pertama kali mengerjakan umrah.

Semua kerja amal tersebut dilakukan secara sukarela tanpa melibatkan apa-apa bayaran.

Aznil juga menjayakan ceramah di sekolah-sekolah berhubung keselamatan kanak-kanak dan budi bahasa.

“Saya berasa seronok apabila dapat melakukan semua kerja ini,” luah Aznil sambil tersenyum.

Artikel Sebelum

Wajah 'tua' Brad Pitt menjadi!

Artikel Lain