suria

Cinta Nasha pada Iman Tang

Nasha bersama dua lagi pelakon utama Bunian:Mahkota Seri Helang, Rusdi Ramli dan Mimi Rahzia - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Nasha bersama dua lagi pelakon utama Bunian:Mahkota Seri Helang, Rusdi Ramli dan Mimi Rahzia - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Nasha bersama dua lagi pelakon utama Bunian:Mahkota Seri Helang, Rusdi Ramli dan Mimi Rahzia - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

JARANG sungguh melihat kelibatnya di mana-mana majlis kebelakangan ini. Malah, cerita terbarunya juga sudah lama tidak dipaparkan di mana-mana akhbar mahupun majalah. Bukan satu perkara yang menghairankan tentang pemilik nama Nasha Aziz ini apatah lagi dia sememangnya cukup mendambakan kehidupan yang 'low-profile' meskipun bergelar selebriti.

Malah, ketika dia dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kategori Filem di Anugerah Skrin yang berlangsung pada November tahun lalu, Nasha juga tidak muncul untuk menerima trofi kemenangan tersebut.

Berpeluang menemui aktres dan model berusia 37 tahun ini pada pelancaran filem 'Bunian: Mahkota Seri Helang' semalam, dalam nada ceria, Nasha menjelaskan dirinya tidak pernah 'menyepikan' diri selama ini.

Akui sibuk dengan penggambaran drama dan bidang peragaan, tutur Nasha, dia lebih senang bebas dari sebarang publisiti andai tiada perkembangan terbaru tentang karier seninya.

"Setelah berlakon dalam filem Sepi, saya tidak lagi berlakon mana-mana filem. Memang saya sendiri yang buat keputusan untuk muncul dengan filem itu saja tahun lalu.

"Bagi saya, itu adalah yang terbaik buat karier saya. Saya ingin lakukan sesuatu perkara atas dasar 'passion'. Saya adalah seorang yang perlu benar-benar jatuh cinta dengan sesuatu perkara itu, barulah saya akan lakukan.

"Selepas filem Sepi, saya hanya berlakon dalam dua buah drama iaitu Monalisa dan Awan Dania. Selebihnya, saya banyak tumpu kepada bidang peragaan. Saya banyak menjayakan 'fashion show'.

"Tahun ini barulah saya tertarik untuk menerima tawaran berlakon filem lagi iaitu Bunian: Mahkota Seri Helang setelah melihat kepada jalan cerita yang menarik," kata Nasha yang juga telah menyambung kontrak sebagai duta produk Avon dan Polo.

Bercerita lanjut tentang wataknya di dalam filem epik terbitan Fantasy Filem milik komposer tersohor, Adnan Abu Hassan itu, jelas Nasha, watak puteri bunian bernama Puteri Manja Sakti yang bakal dilakonkannya itu cukup istimewa dan berjaya menambat hatinya untuk bergandingan bersama Rusdi Ramli dan pendatang baru, Mimi Rahzia di dalam filem tersebut.

"Buat masa ini, saya tidak dapat buat kajian begitu mendalam lagi kerana masih belum berbincang dengan lanjut bersama pengarah, Zaharil Izham atau Jantan. Tetapi, bagi saya perkara ini semuanya bergantung kepada kreativiti.

"Secara dasarnya, watak saya ini serupa saja dengan orang biasa. Cuma berbeza dari segi fizikal memandangkan dia ialah seorang puteri bunian.

"Tetapi, apapun, saya melihat filem mampu melonjakkan industri pelancongan kita kerana ia akan memaparkan keindahan alam semulajadi negara kita.

"Walaupun ia berkisarkan tentang kisah cinta puteri bunian yang menyelamatkan seorang jejaka dari alam nyata, tetapi pada masa yang sama, filem ini akan berlatarkan kecantikan gunung-ganang, sungai dan budaya negara kita," tutur Nasha.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta itu akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan di Kundasang, Sabah dan sekitar Kuala Lumpur.

Menariknya, filem ini juga akan dibuat di dalam bentuk trilogi, mengambil idea yang dibuat menerusi filem antarabangsa, Lord of the Ring.

Cinta kukuh terhadap Iman

Beralih kepada topik yang lebih 'peribadi' buat Nasha, sambil tersenyum dia memulakan bicara dengan mengakui hidupnya kini cukup bahagia dikelilingi mereka yang tersayang seperti keluarga dan teman-teman.

Bila diajukan pula soalan tentang cinta hatinya, seorang pemuda Cina yang kini telah menganut agama Islam dan menukar namanya kepada Nur Iman Tang, reaksi wajah Nasha semakin ceria.

Jarang aktres jelita ini menceritakan hal-hal berkenaan kisah cintanya sebelum ini. Jika ada pun, hanya sesekali saja dia meluahkan kepada pihak media.

Kata Nasha, ketika ini, Iman yang juga merupakan seorang promoter konsert, masih lagi mengikuti kelas agama anjuran Perkim sejak dia memeluk agama Islam pada Ramadan tahun lalu.

Namun begitu, pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah ini sedar, pasti banyak pihak yang merasakan Iman memeluk agama Islam disebabkan oleh Nasha, bukan kerana keinginannya sendiri untuk mendalami agama ini.

"Saya jemput dia untuk menjadi saudara Islam disebabkan melihat dia sendiri yang bangga dengan keindahan Islam itu sendiri. Dia seorang yang mementingkan kebersihan, sopan dan tidak bermegah-megah yang memang ditekankan dalam Islam.

"Saya sedar tentang hal ini pun ketika bulan puasa tahun lalu. Waktu itu, saya sering mengerjakan sembahyang Terawih dan ketika itu dia rasa cukup 'terasing'.

"Kemudian baru saya sedar apabila dia ke Perkim untuk belajar tentang Islam dan bertanyakan kepada saya nama yang sesuai untuknya kerana dia ingin memeluk agama Islam.

"Saya terus cadangkan Iman kerana nama itu 'simple' dan di dalam Islam pun apa yang kita lakukan, pokok pangkalnya adalah iman," kata Nasha yang menambah, Iman memeluk Islam pada minggu kedua Ramadan.

Menurutnya lagi, Iman juga sering bertanyakan hal-hal yang tidak difahaminya tentang Islam dan perkara tersebut selalunya akan dijelaskan oleh Nasha sebaik mungkin.

"Saya juga sentiasa ingatkan dia bahawa dia kini kena lebih disiplin dan kuatkan iman. Dan dia menerima dengan cukup positif," katanya.

Ditanya adakah selepas ini mereka akan terus membawa hubungan yang terjalin itu ke gerbang perkahwinan, sambil ketawa, Nasha berkata:

"Tentang masa depan, saya tidak boleh bercakap lagi. Sudah tentu semua orang ada impian tersendiri. Saya hanya ingin fokus apa yang ada di depan mata terlebih dahulu. Bila lahirnya 'future' itu, barulah saya berani untuk bercakap," tutur Nasha.

Artikel Sebelum

Ziana 'ubat' duka dengan Magica

Artikel Berikut

Artikel Lain