suria

Syazliana tidak kecewa, bakal muncul dengan album baru

Meskipun sibuk dengan perniagaan, Syaz akan tetap pastikan karier seninya berjalan dengan baik
Meskipun sibuk dengan perniagaan, Syaz akan tetap pastikan karier seninya berjalan dengan baik
Meskipun sibuk dengan perniagaan, Syaz akan tetap pastikan karier seninya berjalan dengan baik

TIGA tahun tidak tampil dengan album baru, pemilik nama Syazliana Abdul Karim atau mesra disapa Syaz ini tidak pernah merasakan dirinya akan terus 'terpinggir' dari bidang seni.

Bagi gadis berusia 22 tahun ini, asalkan minat masih menebal di samping usaha yang tinggi, dia pasti impiannya untuk terus berada di dalam industri hiburan tanahair akan tercapai.

Nekadnya untuk meneruskan perjuangan seni semakin membara sebaik menamatkan pengajian Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di The One Academy, Bandar Sunway kira-kira dua bulan lalu.

Lantaran itu, anak ketiga daripada lima beradik ini terus berusaha menyiapkan album keempatnya yang tertangguh lebih setahun di bawah kendalian syarikat miliknya sendiri, Seinna Entertainment Sdn Bhd dan album itu nanti dijangka akan berada di pasaran pada akhir bulan ini edaran Sony BMG Music.

Berpeluang berbual dengan gadis yang sebelum ini sinonim dengan irama tradisional ini, akui Syaz, dia sememangnya tidak sabar lagi untuk muncul dengan album keempatnya itu yang disifatkan Syaz telah menampilkan dirinya yang 'baru'.

"Banyak kelainan yang ditampilkan termasuklah dari segi vokal saya sendiri. Album ini juga hanya memuatkan lagu-lagu pop dan balada, tidak seperti album-album terdahulu yang selalu saya selitkan satu atau dua buah lagu tradisional.

"Walaupun penghasilan album ini memakan masa yang agak panjang memandangkan saya terikat dengan komitmen sebagai pelajar, tetapi saya bersyukur kerana hasilnya memang memuaskan hati saya.

"Insya-Allah, single pertama berjudul Atas Nama Cinta ciptaan Iman Wan akan mula diputarkan di radio-radio tidak lama lagi," kata Syaz yang juga akan menampilkan imej yang sofistikated dan elegan bersesuaian dengan usianya untuk album terbarunya itu nanti.

Jelasnya, album berkonsepkan pop balada itu bagaimanapun hanya memuatkan enam buah lagu dan ia akan dipakej semula setelah melihat sambutan daripada peminat kelak.

Antara komposer yang menyumbangkan karya mereka di dalam album itu ialah Iman Wan, Adnan Abu Hassan dan Neves Pretty Ugly.

Kata anak jati Selangor ini, dia sedar ramai yang agak sangsi dengan keputusannya untuk tampil dengan album baru apatah lagi dengan keadaan pasaran album yang lembap ketika ini serta kemunculan begitu penyanyi-penyanyi baru.

Namun begitu, tutur Syaz yang kini semakin bijak berbicara, semuanya bergantung kepada kekuatan artis itu sendiri untuk merealisasikan impian masing-masing.

"Sejujurnya, saya banyak mendapat sokongan bukan saja daripada keluarga, tetapi daripada peminat yang sentiasa mahukan saya muncul dengan album baru. Disebabkan itu, saya cukup yakin untuk buat album lagi.

"Tentang saingan dengan artis-artis baru, saya rasa itu sepatutnya tidak perlu dijadikan isu. Saya tidak gentar dengan saingan sihat seperti ini, malah memang dari awal pembabitan saya dalam bidang ini saya sedar saya perlu lalui perkara ini.

"Bagi saya, apapun terletak kepada kekuatan diri sendiri. Saya mungkin bertuah kerana pada masa yang sama, saya menguruskan perniagaan sendiri. Jadi, ia membuatkan saya lebih berkeyakinan untuk sanggup menghadapi apa saja risiko.

"Kalau saya takut keluarkan album, lebih baik saya jangan buat bisnes sendiri yang sememangnya lebih mencabar kerana bisnes melibatkan banyak pihak dan terdedah dengan risiko yang lebih tinggi," kata Syaz yang kini bergelar ahli perniagaan muda menerusi dua buah syarikat miliknya, Seinna Entertainment Sdn Bhd dan Seinna Studio Sdn Bhd yang mula beroperasi sejak setahun lalu.

Ligat berniaga

Tatkala dirinya sibuk menjalani kehidupan sebagai pelajar tidak lama dulu, Syaz turut berjinak-jinak dengan bidang perniagaan, mengikuti jejak langkah bapanya sendiri Datuk Abdul Karim.

Malah, dua buah syarikatnya Seinna Entertainment dan Sienna Studio diwujudkan setelah Syaz benar-benar yakin mampu mengendalikan perniagaan sendiri atas sokongan padu bapa dan seluruh ahli keluarganya.

Meskipun tidak terlepas dengan suara-suara 'sumbang' yang mengatakan Syaz beruntung kerana dilahirkan di dalam keluarga berada dan sekaligus menjadi laluan mudah untuk dirinya berada di tahap sekarang, tutur Syaz, dia tidak mahu mengambil pusing dengan kata-kata tersebut.

"Bagi saya, ini adalah hidup saya. Tidak kiralah saya dikatakan anak orang kaya atau sebagainya, yang penting saya ada hak untuk corakkan masa depan saya.

"Saya akui bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dan bimbingan terus daripada bapa saya. Sejak masih bergelar pelajar lagi, saya sudah mula berjinak-jinak dengan bidang bisnes dan belajar secara perlahan-lahan.

"AKhirnya, berjaya juga saya tubuhkan Seinna Entertainment yang bertindak menguruskan karier seni serta Sienna Studio yang menguruskan hal-hal atau tempahan bagi rekaan grafik.

"Alhamdulillah, setakat ini bisnes berjalan dengan baik. Memang hampir setiap hari saya cukup sibuk untuk berjumpa pelanggan dan sebagainya.

"Tetapi apapun, saya masih sempat bahagikan masa dengan karier seni. Malah, undangan persembahan juga masih banyak saya terima," kata Syaz yang turut berhasrat untuk menyambung pengajian di Australia jika berkesempatan kelak.

Artikel Lain