suria

Selamat Pagi Cinta terlalu straight forward

TERLALU 'straight foward'! Mungkin itulah istilah yang paling tepat untuk menggambarkan filem terbaru terbitan Metrowealth Movies, Selamat Pagi Cinta! (SPC), yang membariskan pelakon-pelakon muda seperti Fazura, Sharifah Amani, Pierre Andre, Que Haidar.

Filem ini turut dibantu Hisham Ahmd Tajuddin (Atuk), Cat Farish, Zulkifli Zain, Normalam Omar, Erry Putra, Sofea Shahira dan Zally Husin.

Filem sulung arahan pengarah muda Norliana Samsudin ini digarap dengan teknik penceritaan yang mudah difahami.

Tapi tidak wajar untuk menyalahkan pengarah 100 peratus kerana menurut penulis skrip filem ini, Pierre Andre dia memang sengaja mencipta skrip filem ini sebegitu rupa agar penonton tidak bosan.

Durasi filem yang memakan masa 1 jam 20 minit ini mengisahkan tentang cinta remaja di zaman universiti. Namun apa yang cuba disampaikan adalah cinta tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan dan pengorbanan itu lebih besar nilainya.

Kasih sayang vs cinta

Yang penting, nilai kasih sayang mampu mengatasi cinta. Ini dapat dilihat dengan jelas pada watak Haikal, lakonan Que yang tidak dapat hadir pada temujanjinya dengan Suci (Amani), kerana terpaksa melawat datuknya yang terlantar sakit dihospital.

Biarpun terpaksa mengecewakan kekasih hatinya itu, demi kasihnya pada datuk yang memeliharanya sejak kecil mengatasi cintanya kepada Suci.

Cuma apa yang dikesalkan ialah watak Haikal sebagai lelaki berjiwa seni dan bijak bermain biola tidak digambarkan dengan penuh emosi. Pastinya penonton mahukan sesuatu yang lebih daripada lakonan Que kerana dia mampu memberikan lebih daripada itu.

Sayangnya Liana tidak bijak memanipulasikan kebolehan Que dalam filem ini. Ini satu kelemahan yang agak ketara. Dengan jalan cerita dan skrip yang mudah difahami, Liana sepatutnya menambahkan elemen realisme.

Kebetulan dan takdir

Teknik penceritaan yang digarap Pierre cukup mudah. Namun satu perkara yang membuat penulis tertanya-tanya, logikkah kita berkahwin dengan orang yang baru dikenali atas sebab perkahwinan satu pertaruhan?

Terlalu banyak pertemuan secara kebetulan antara Ilham dan Julia dan pertemuan kali ketiga menyebabkan Ilham mengajak Julia kahwin dengan hanya membaling duit syiling.

Lebih menyedihkan dalam satu babak ketika Ilham bertarung dengan nyawa dan terlantar sakit dihospital.

Suasana persekitarannya tidak diterjemahkan dengan baik. Seperti ada sesuatu yang kurang lengkap di mana Ilham yang menderita sakit barah tidak digambarkan pergi menjalani rawatan dan sebagainya.

Dia hanya digambarkan berdiri di depan hospital dengan suara latar daripada doktor yang mengatakan penyakitnya semakin kronik.

Filem dari kaca mata dan sudut pandangan wanita

Jika dilihat dari persepsi positif bagi pengarah buat kali pertama, Liana telah cuba melakukan yang terbaik cuma penulis masih tidak faham apa perlunya, dia turut berlakon dalam filem SPC ini. Liana membawa watak,Ina teman serumah Julia. Apakah maksud tersirat Liana yang turut berlakon dan menjadi pengarah pada masa yang sama?

Mungkinkah dia ingin menonjolkan dirinya juga mampu berlakon dan mengarah pada masa yang sama?

Walaupun ada kelemahan, pengakhiran cerita disudahi dan disimpulkan dengan baik. Liana bijak menggabungkan dua kisah cinta menjadi satu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain