suria

Khaty sedia gegarkan Konsert Ulangtahun Mutiara

DENGAN semangat mewarnai industri hiburan selama lebih 30 tahun ini, penyanyi Khadijah Ibrahim yang popular dengan gelaran Khaty semakin teruja untuk menghiburkan penonton di Dewan Filharmonik Petronas menerusi 'Konsert Ulangtahun Mutiara'nya.

Bersama pemain seksofon hebat Datuk Ahmad Nawab dan penyanyi yang digelar Papa Rock Malaysia, Ramli Sarip, Khaty menjanjikan gandingan konsert yang mantap dan bertenaga pada 17 dan 18 November ini.

Konsert ini juga mendapat sokongan mandat daripada pengarah muzik terkenal, Mac Chew.

Yang pasti, Khaty berkata beliau akan cuba menjadikan malam tersebut sebagai malam bersejarah dalam hidupnya dan memori yang dirakamkan bersama para peminatnya.

Ketika sidang media terakhir konsert tersebut, hanya tinggal 200 tiket yang belum dijual yang berharga RM50 dan RM80.

Ini bermakna konsert tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seni yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan negara.

Seperti yang dikatakan, niat luhur Khaty hanya ingin melakukan amal kebajikan selain mengumpulkan semua orang dari pelbagai latar belakang.

Menurut Khaty, dia akan menyalurkan sumbangan kepada Tabung Yayasan Nur yang melibatkan ibu tunggal, anak-anak miskin dan golongan tidak berupaya.

Yang membuatkan Khaty terharu apabila banyak persatuan dan syarikat korporat yang sudi membantunya dengan membeli tiket konsert tersebut.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu mansor kerana beliau yang banyak membantu kami mendapatkan penaja dari tiga pihak.

"Bagi saya, sokongan ini diterima saat-saat akhir kerana kami membuat kebajikan," beritahu Khaty.

Selain itu, konsert ini turut mendapat bantuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ditanya tentang lagu-lagu yang bakal dinyanyikan dalam masa dua jam itu, Khaty bagaimanapun enggan memberitahu senarai lagu tersebut.

"Saya tak nak bagitahu semua. Yang pasti konsert ini akan menceritakan tentang perjalanan hidup saya, penderitaan saya bergelar penyanyi, cabaran. Saya juga inginkan peminat menyanyi lagu-lagu tersebut bersama-sama," jawab Khaty lagi.

Menariknya, antara tetamu VVIP yang dijangka hadir pada malam itu adalah Yang diPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, serta Sultan Perak Darul Ridzuan dan Raja Permaisuri Perak.

Lancar Album Mutiara

Dalam ada itu, Khaty berkata beliau akan melancarkan album CD terbarunya, Album Mutiara semasa konsert gilang-gemilang itu.

Album terbarunya nanti bakal menampilkan 30 buah lagu-lagu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang merepresentasikan perjalanan hidupnya selama tiga dekad lalu.

Album ini juga merencanakan hubungan profesionalnya yang diikat bersama syarikat rakaman Warner Music, iaitu label yang merasmikan karier Khaty dengan Sehari Dalam Cinta pada 1979.

Perancangan merakamkan album terbarunya selepas mengumpul material selama tujuh tahun akan direalisasikan pada tahun depan.

Untuk menonton Konsert Ulangtahun Mutiara Khadijah Ibrahim, tiket boleh didapati dengan harga RM80 dan RM50 di Dewan Filharmonik Petronas dengan menghubungi talian box-office 03-2051 7007 dan menerusi laman web www.malaysianphilharmonic.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain