MAHKAMAH di California dilaporkan hampir memerintahkan penjualan paksa rumah mewah Nicki Minaj di Hidden Hills selepas penyanyi antarabangsa itu didakwa enggan melunaskan bayaran ganti rugi kepada bekas pengawal keselamatannya.
Dalam prosiding pada 24 November lalu, Hakim Cindy Pánuco dari Mahkamah Tinggi Los Angeles memaklumkan beliau cenderung untuk membenarkan penjualan tersebut namun memerlukan satu dokumen terakhir sebelum membuat keputusan muktamad.
“Keputusan sementara saya adalah untuk meluluskan permohonan ini. Saya cuma mahu pastikan semuanya tepat,” katanya seperti dilaporkan Rolling Stone.

Nicki Minaj kena bayar denda lebih 50 juta.
Hakim itu kini menunggu penyata rasmi Bank of America membabitkan butiran pembayaran gadai janji bernilai AS$13.3 juta (RM55 juta) yang dibuat Minaj sejak Oktober 2022, termasuk kadar faedah harian.
Panuco menjelaskan dokumen itu diperlukan bagi memastikan nilai jualan rumah tersebut walaupun di bawah harga pasaran.
Penjualan rumah itu dikatakan mampu menampung jumlah ganti rugi berjumlah AS$503,000 (RM2.1 juta) yang perlu dibayar kepada bekas pengawal keselamatannya, Thomas Weidenmuller.
“Sekiranya rumah itu dilelong pada harga lebih rendah dan tidak menampung jumlah yang sepatutnya dibayar, saya perlu menilai sama ada penjualan itu wajar,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nicki Minaj dituduh miliki barang terlarang, sempat buat ‘live’ ketika ditahan polis
ARTIKEL BERKAITAN: Nicki Minaj sidai penonton 2 jam, peminat bengang konsert hanya berlangsung kurang sejam
Sementara itu, peguam Weidenmuller, Paul Saso, memberitahu, hartanah tersebut berpotensi dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada jumlah yang diperlukan.
Namun hakim tetap teguh dengan pendiriannya untuk menunggu dokumen lengkap sebelum membuat keputusan.
“Setakat ini hanya satu dokumen masih belum diserahkan. Lain-lain maklumat telah diterima,” katanya.
Hakim menetapkan 22 Januari depan untuk prosiding seterusnya bagi meneliti dokumen bank berkenaan.

Nicki Minaj bakal kehilangan rumahnya.
Terdahulu Weidenmuller memfailkan permohonan supaya rumah Minaj di Hidden Hills dijual bagi mendapatkan wang ganti rugi yang masih belum dibayar.
Weidenmuller, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah konsert Minaj di Jerman pada 2019 mendakwa suami Minaj, Kenneth Petty, menumbuk wajahnya ketika bertugas.
Susulan itu, mahkamah kemudian memerintahkan Minaj membayar ganti rugi lebih RM2.1 juta.
Namun sehingga kini Weidenmuller mendakwa masih belum menerima pembayaran tersebut.
Minaj, 42, pula menyatakan kegagalan itu berpunca daripada kecuaian penasihat kewangannya.
Pada 6 Oktober lalu, Weidenmuller memohon mahkamah mengarahkan penyanyi itu menjual rumah agam 11 bilik dan 16 bilik air yang dibelinya pada harga AS$19.5 juta (RM80 juta) pada Disember 2022.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


