KHABAR angin mengenai hubungan percintaan antara usahawan kosmetik terkenal Kylie Jenner dan aktor Timothée Chalamet kembali menjadi perhatian netizen apabila pasangan itu dikatakan sudah membawa haluan masing-masing.
Spekulasi mula tercetus selepas mereka dilihat tidak lagi muncul bersama, malah Chalamet juga tidak kelihatan menghadiri majlis ulang tahun ke-70 ibu Kylie, Kris Jenner yang bertemakan James Bond di Los Angeles baru-baru ini.
Menurut laporan, selepas hampir tiga tahun bersama, bintang filem Dune itu dikatakan telah memutuskan hubungan dengan pengasas kosmetik jenama Kylie.

Ada mendakwa Kylie dan Chalament masih bercinta.
Namun, sumber terdekat mendakwa ini bukan kali pertama mereka berpisah.
“Ini bukan kali pertama mereka membawa haluan masing-masing, tetapi Kylie selalunya berjaya memujuk Timothee untuk kembali.
"Dia benar-benar menyayangi lelaki itu, jadi tidak mustahil mereka akan bersama semula,” ujar sumber berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli kumpulan Katseye, Manon didakwa ambil dadah... Terpalit skandal seks
ARTIKEL BERKAITAN: Chris Evans didakwa curang selepas kelahiran anak pertama
Spekulasi semakin hangat apabila peminat menyedari ketiadaan Chalamet dalam foto-foto majlis ulang tahun Kris Jenner yang turut dihadiri keluarga Kardashian serta barisan selebriti terkenal lain.
Bagaimanapun, laporan terbaharu menafikan dakwaan perpisahan itu apabila sumber rapat menjelaskan pasangan berkenaan masih bersama dan hubungan mereka baik-baik sahaja.
Ketidakhadiran Chalamet di majlis tersebut difahamkan berpunca daripada komitmen kerja kerana dia kini sibuk menjalani penggambaran filem Dune: Part Three.
“Timothee kini fokus pada penggambaran, namun dia merancang untuk meluangkan masa bersama Kylie ketika musim cuti nanti,” dedah sumber.
Selain itu, Kylie juga difahamkan sempat terbang ke New York untuk melawat kekasihnya di lokasi penggambaran dan mereka turut berjumpa di London ketika Chalamet menjalani penggambaran di sana.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


