suria

Dua selebriti jadi ahli politik digantung tugas, video kontroversi berjoget dalam parlimen undang kemarahan rakyat

Uya dan Eko tampil memohon maaf secara terbuka.

PARTI Amanat Nasional (PAN) hari ini mengumumkan penggantungan tugas dua selebriti yang juga ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Eko Patrio dan Uya Kuya berkuat kuasa esok.

Naib Ketua Umum PAN, Viva Yoga Mauladi berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan politik di Indonesia sejak kebelakangan ini.

“Mencermati situasi semasa, Dewan Pimpinan Pusat PAN memutuskan untuk menggantung tugas Eko Hendro Purnomo (Eko Patrio) dan Surya Utama (Uya Kuya) sebagai anggota DPR RI dari Fraksi PAN DPR RI bermula Isnin, 1 September 2025,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Uya dilihat menari semasa berada di parlimen.

Viva turut menyeru masyarakat supaya bertenang dan yakin dengan pentadbiran Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Percayakan sepenuhnya kepada kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto untuk menyelesaikan persoalan ini dengan tepat, cepat, dan sentiasa berpihak kepada rakyat demi kemajuan bangsa Indonesia,” ujarnya dalam laporan berita Kompas.com 

Terdahulu, Eko yang juga Setiausaha Agung PAN mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video parodi di TikTok (@ekopatriosuper) memaparkan dirinya beraksi sebagai DJ dengan muzik ‘horeg’.

Video itu dipercayai sebagai respons terhadap kritikan awam apabila beberapa anggota dewan dilihat berjoget selepas Pidato Kenegaraan Presiden Prabowo Subianto dalam Sidang Tahunan MPR RI 2025. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pelakon diceroboh kumpulan demonstrasi, kucing peliharaan turut diambil

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Insiden maut seorang penunggang e-hailing di Jakarta, Melly Goeslaw mohon maaf bagi pihak DPR

“Biar jogetnya lebih keren pakai sound ini aja,” tulis Eko pada kapsyen video berkenaan.

Antara ahli politik yang dilihat berjoget ialah Uya Kuya [Tonton video].

Meskipun sudah memohon maaf, tindakan mereka dianggap menyemarakkan kemarahan masyarakat terutama selepas isu kenaikan elaun anggota DPR RI.

Pada 25 Ogos lalu, ribuan rakyat mengadakan demonstrasi membantah kenaikan itu sebelum bantahan berlanjutan pada 28 Ogos yang menyaksikan seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan maut dilanggar kenderaan perisai polis.

Video Eko didakwa persenda rakyat Indonesia.

Insiden tersebut menambah kemarahan khususnya dalam kalangan penunggang e-hailing sehingga protes merebak ke Yogyakarta, Bandung, Surabaya, Solo, Tegal, Cilacap, Makassar dan beberapa kota lain.

Demonstrasi bertukar ganas dengan berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa. 

Beberapa kemudahan awam termasuk hentian bas serta pejabat polis dibakar, malah bangunan pejabat Gabenor Jawa Timur di Surabaya turut musnah dalam kebakaran pada Sabtu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain