suria

Gelap wang syarikat RM13 juta, Hwang Jung Eum berdepan hukuman penjara tiga tahun

Jung Eum berdepan hukuman penjara tiga tahun.

PIHAK pendakwa raya memohon hukuman penjara tiga tahun terhadap pelakon Hwang Jung Eum yang didakwa menggelapkan wang lebih 4.3 bilion won (RM13.7 juta) daripada agensi hiburan milik keluarganya. 

Korea Times melaporkan, pendakwa raya membuat permohonan pada sidang perbicaraan akhir yang diketuai Hakim Lim Jae Nam di Mahkamah Daerah Jeju, Korea Selatan pada Khamis. 

Sepanjang perbicaraan, Jung Eum mengaku bersalah atas semua tuduhan dan telah membayar balik  wang berkenaan secara ansuran dua kali pada 30 Mei dan 5 Jun dengan menjual aset peribadi miliknya. 

Jung Eum popular menerusi drama She Was Pretty.

Ini menjadikan semua urusan kewangan antara dia dan agensi tersebut selesai sepenuhnya. 

Dalam pada itu, peguam mewakili Jung Eum merayu agar hukuman yang ringan dikenakan ke atas aktres berkenaan dengan alasan tertuduh kurang pengetahuan dalam bidang perakaunan dan prosedur undang-undang kerana percaya wang yang dipinjam itu akan dibayar semula tanpa sebarang masalah. 

Jung Eum bagaimanapun meluahkan rasa kesal dan mengakui kesilapannya kerana terlalu fokus bekerja sehingga gagal menguruskan akaun syarikat dan cukai dengan betul sehingga akhirnya membawa kepada insiden tersebut. 

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Bunga Citra Lestari dituduh gelap wang syarikat RM1.7 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Tiko Aryawardhana selesai beri keterangan isu seleweng duit, minta jangan kaitkan nama Bunga Citra Lestari

Keputusan mahkamah dijangka akan diumumkan pada 25 September ini. 

Pada 2022, Jung Eum didakwa menggunakan wang sebanyak 4.34 bilion won daripada Hunminjeongeum Entertainment, sebuah agensi pengurusan yang dimiliki oleh keluarganya untuk tujuan pelaburan dalam mata wang kripto dan pembayaran cukai hartanah serta cukai tempatan menggunakan kad kredit.

Menurut keterangan, Jung Eum mengambil pinjaman sebanyak 800 juta won atas nama agensi dan melabur sebanyak 4.2 bilion won dalam kripto bagi tujuan menggembangkan perniagaan syarikat. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain