MAYAT pelakon senior Korea Selatan, Song Young Kyu, 55, ditemui rakannya di kawasan parkir di kediamannya di Yongin, Wilayah Gyeonggi, Seoul, Korea Selatan.
Menurut pihak polis, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah mahupun nota bunuh diri di lokasi kejadian.
Pun begitu, siasatan lebih terperinci mengenai punca kematiannya sedang dijalankan dan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk melakukan bedah siasat.
Bakat mendiang cukup dikagumi peminat.
Sementara itu, proses pengebumian dijadulkan bakal berlangsung pada 6 Ogos di Davos Hospital Funeral Hall, Yongin dan akan disemadikan di Hambaeksan Memorial Park.
Mendiang meninggalkan dua cahaya mata perempuan dan isteri.
Young Kyu memulakan kerjaya pada 1994 menerusi sebuah teater kanak-kanak bertajuk Wizard Mureul selain membintangi pelbagai drama dan filem hebat seperti Extreme Job, Stove League, Narco-Saints dan Big Bet.
Khabar tersebut turut menjadi perhatian ramai memandangkan mendiang terpalit dengan kontroversi undang-undang berkaitan kes memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) pada 19 Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pelakon Humaira ditemukan mereput dalam rumah
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah seminggu meninggal dunia, pengurus kongsi berita sedih kehilangan Lee Seo Yi
Kejadian tersebut mengakibatkan lesen memandunya dibatalkan selepas didapati mempunyai kandungan alkohol melebihi 0.08 peratus dalam darah.
Disebabkan kejadian tersebut kerjayanya terjejas malah beberapa drama penggambarannya juga disunting semula.
Menurut sumber, mendiang dikatakan mengalami tekanan emosi dan mental yang teruk akibat kecaman netizen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


