suria

Johor Bantu Pengusaha Buah-Buahan Terutama Pisang

KOTA ISKANDAR: Kerajaan negeri Johor sentiasa memberikan bantuan kepada petani dan pengeksport buahan-buahan agar mereka berkeyakinan bahawa bidang diusahakan itu adalah berdaya saing, menguntungkan dan mempunyai nilai komersil tinggi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata bantuan itu diberikan melalui Jabatan Pertanian dan antaranya untuk tanaman pisang.

Menurut beliau, Johor kini menyumbang hampir 30 peratus daripada keluasan bertanam pisang di Semenanjung Malaysia dan berharap ia dapat ditingkatkan.

“Oleh itu, untuk terus mempergiat aktiviti tanaman pisang, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa program dan rancangan termasuk menggalakkan usaha-usaha membaik-biak dan mengesyorkan penanaman kultivar atau varieti yang mempunyai kerentanan yang tinggi terhadap penyakit merebak.

“Jenis-jenis pisang terpilih adalah pisang berangan, pisang emas, pisang cavendish, pisang rastali dan pisang tanduk,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) yang ingin tahu rancangan kerajaan negeri dalam memastikan industri penanaman pisang sentiasa berkembang maju baik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengadakan program bancian, pengawasan, pemantauan dan pengesanan penyakit terhadap tanaman pisang bagi mengekang dan membasmi penularan penyakit utama tanaman itu iaitu Layu Bakteria (Penyakit Moko) dan Layu Fusarium.

Bagaimanapun, dalam bancian tahun ini, tiada kehadiran penyakit Layu Bakteria direkodkan manakala bagi penyakit Layu Fusarium pula, hanya 1.43 hektar kawasan penanaman pisang diserang tetapi berada di bawah kawalan.

Beliau menegaskan selain itu, program berkala seperti taklimat, penerangan dan latihan amali berkaitan Pengurusan Tanaman Pisang, turut diadakan bagi mendedahkan pengusaha dengan maklumat dan teknologi terkini berkaitan aspek amalan kultura, pengawalan perosak atau penyakit dan amalan pertanian yang baik.

“Ia secara tidak langsung memberi ruang dan peluang mengeratkan lagi perhubungan antara Jabatan Pertanian dan pengusaha supaya pengalaman dan pengetahuan dapat dikongsi, sementara isu dan permasalahan yang dihadapi dapat diatasi bersama,” katanya.

Ismail memberitahu dari sudut pasaran, pisang dari Johor setakat ini telah mendapat laluan ke negara Jepun, Korea Selatan, Singapura, Kesatuan Eropah, Hong Kong dan negara-negara Timur Tengah selain daripada pasaran tempatan.

“Sebagai tambahan, pihak Jabatan Pertanian juga sedang menjalankan rundingan dengan  China untuk mendapatkan laluan pasaran ke negara tersebut sebagaimana tanaman durian,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain