suria

200-300 Pembekal Terlibat KR1M 2.0 - Hamzah

PUTRAJAYA: Antara 200 hingga 300 pembekal akan terlibat dalam Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bagi menawarkan lebih banyak pilihan produk yang berkualiti pada  harga lebih rendah daripada pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata perbincangan dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat besar tempatan (LLC) dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) telah diadakan agar mereka boleh membekalkan produk dan barangan dengan harga berpatutan kepada KR1M.

“Mydin tidak lagi jadi pembekal utama. Sekarang semua (syarikat) boleh membekal produk. Ini akan memberi peluang kepada mereka untuk menggunakan program (KR1M) untuk menambah dan meningkatkan  jumlah barangan sehingga ke pedalaman.

Saya menganggarkan 5,000 hingga 6,000 unit simpanan stok (SKU) dijual di KR1M 2.0. Harga produk KR1M 2.0 akan lebih murah,” katanya pada satu sidang media selepas majlis prapelancaran Karnival Jualan Mega 2017 di sini, Isnin.

Hamzah berkata perbincangan akan diadakan dengan MNC agar dapat menawarkan barangan keperluan harian dengan harga lebih rendah dan kompetatif berbanding di pasar raya  Beliau berkata barangan keperluan asas di KR1M akan diletakkan logo milik KR1M dan juga 1Malaysia.

Menurut Hamzah, KR1M 2.0 dijangka  dilancarkan pada akhir tahun ini dan beroperasi pada Januari tahun depan.

Dalam Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa sebanyak 50 KR1M akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0 tahun depan dan diperluaskan kepada 3,000 buah dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, perdana menteri berkata KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG).

Sementara itu, Hamzah berkata Karnival Jualan Mega 2017 akan diadakan di Dataran Amanjaya, Ipoh, Perak bermula 22 hingga 26 November dan dijangka  menarik 500,000 pengunjung dengan jualan RM15 juta.

Beliau berkata Karnival Jualan Mega 2017 diadakan secara bersepadu dengan menggabungkan beberapa program KPDNKK berimpak tinggi di bawah satu jenama, antaranya Sambutan Hari Francais Kebangsaan, Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Kempen Balik ke Sekolah.

Sebanyak 17 syarikat yang terbahagi kepada beberapa kluster seperti automotif, peruncitan, buku dan elektronik menyertai pada Karnival Jualan Mega pada tahun ini.--Bernama


KR1M, Hamzah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sukses: Apa Kata Jack Ma

Artikel Lain